Bantah RUU PSB: Pemuda Pas tidak faham apa nak diperjuangkan - Haziq
- Suara Keadilan
- 40 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pas sekali lagi menjadi sasaran kecaman susulan rancangan sayap pemuda parti itu untuk menggerakkan perhimpunan bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 14 Jun depan.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak menyifatkan, RUU PSB tidak menganiaya sesiapa sehingga perlu dibantah dan akan memberi pampasan secara bermaruah kepada pemilik rumah.
RUU itu, katanya, bertujuan memajukan sesuatu tempat dan lazimnya ia dilaksanakan untuk kepentingan awam.
"Sebenarnya mereka (Pas) tak faham apa yang nak diperjuangkan. Saya fikir sampai ke sudah pun sesiapa ajak debat atau bagi hujahan (kepada mereka), dia tak akan layan. Mereka akan teruskan dengan pendirian politik untuk buat himpunan.

"Bagi saya, tindakan Pas itu tidak memberi manfaat, malah menjejaskan lagi kesejahteraan hidup terutamanya orang-orang Melayu (di kawasan bandar)," bidas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai rancangan Pemuda Pas mengadakan himpunan membantah RUU PSB yang dianggap oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam menjamin hak rakyat memiliki harta.
Mengulas lanjut, Haziq berpendapat, PSB bukan digubal untuk merampas hak milik. Rumah flat yang akan dibangun semula tetap memerlukan sokongan daripada pemilik sebelum projek dijalankan. Cuma paras sokongan bukan lagi 100 peratus daripada pemilik hartanah tetapi di bawah 80 peratus kerana keperluan untuk dibangunkan segera, melihat kedaifan kediaman berkenaan.
Kata Haziq, PSB sebaliknya akan memberikan keuntungan yang lebih besar kepada penduduk kerana RUU itu menjamin nilai hartanah dikira pada nilai semasa atau potensi masa hadapan, bukannya sebagaimana Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menilai pada harga bangunan usang yang merugikan pemilik rumah.
"Ia bukannya mahu merampas hak mereka. Kalau rampas maksudnya (mereka) hilang sesuatu, tapi ini (pemilik) dapat lebih.
"Bila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming ajak turun (ke lawatan kajian khas Akta PSB) mereka (pembangkang) tak turun.. ia satu sikap sombong dan tidak berpijak di bumi yang nyata," kata beliau lagi.
Pembangkang sebelum ini mahu meneruskan tunjuk perasaan menentang RUU PSB kerana didakwa secara halus mahu menghalau orang Melayu daripada bandar besar.
Bagaimanapun mereka tidak pula mengemukakan bukti jelas bagaimana cara orang Melayu akan dirugikan selain menanam kecurigaan dan sentimen bahawa Menteri DAP yang mempelopori usaha berkenaan.