Kerajaan Malaysia seharusnya membantah insiden terbaharu pesawat-pesawat Tentera Udara Singapura terbang rendah di ruang udara Johor.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pesawat-pesawat terbabit terbang pada ketinggian tidak sepatutnya sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan tersebut.
"Saya telah menerima banyak aduan dari penduduk setempat dalam bulan Oktober 2021, dari rakyat di daerah Pasir Gudang yang meliputi Parlimen Tebrau dan Parlimen Pasir Gudang.
"Mereka mengadu tentang kekerapan pesawat-pesawat tentera Republik Singapura terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang yang berjiran dengan Singapura. Kawasan yang terlibat seperti di Kampung Pasir Putih, Taman Scientex, Taman Air Biru dan Taman Cendana, antara lainnya.
"Selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang saya mohon Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor, terutama Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan menyiasat kejadian pencerobohan ruang udara negara ini oleh pesawat asing," katanya.
Tambah Hassan, insiden pencerobohan terbaharu ini seolah-olah mempunyai kaitan dengan tindakan kerajaan Malaysia yang mahu mengkaji semula tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang dipertikaikan.
"Tindakan sewajarnya perlu diambil oleh pihak Kerajaan Malaysia. Kejadian pencerobohan ruang udara negara kita ini kelihatan kerap berlaku selepas Kerajaan Pusat membangkitkan isu untuk mengkaji semula Kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Blanca," katanya lagi.
Kommentare