Kelembapan bank bank di negara ini meluluskan pinjaman perumahan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Hal itu kerana bank bank utama Malaysia begitu mudah memberi RM2.5 bilion pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong yang muflis baru baru ini.
Bagi Setiausaha Kerja Penerangan KEADILAN Selangor, Adzman Kamaruddin, pertimbangan merugikan itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi bank bank yang memberi pinjaman tersebut sahamnya dipegang oleh dana awam seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Rakyat Malaysia yang nak beli rumah masih bergelut dengan masalah sama, iaitu sukar mendapat pinjaman sehingga terpaksa menyewa.
"Sementara syarikat judi Genting Hong Kong mendapat pinjaman berbilion tanpa cagaran dari bank yang mempunyai kepentingan awam.
"Saya bangkitkan persoalan ini kerana berdasarkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan melalui PNB, Khazanah dan KWSP adalah pemegang saham terbesar di ketiga-tiga bank itu," katanya.
Tambah Adzman, rakyat jelas kecewa apabila Menteri Kewangan tidak menjawab secara telus mengapakah bank bank berkenaan dibenar memberi pinjaman tanpa cagaran.
Sedangkan, katanya, rakyat yang sepatutnya ditawarkan skim pinjaman istimewa seperti itu kerana mereka mencarum di dalam dana dana awam berkenaan.
"Jadi mengapa rakyat Malaysia selaku pembayar cukai dibebankan dengan pelbagai syarat pinjaman sementara syarikat luar yang terlibat dengan aktiviti judi sewenang-wenangnya diberi pinjaman tanpa cagaran yang akhirnya merugikan negara," katanya lagi.
Isu kesukaran mendapat pinjaman timbul selepas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon berkata, bank masih mengekalkan kriteria penilaian yang ketat dan mengelak daripada risiko yang berkaitan dengan permohonan pinjaman pembeli rumah.
"Kerajaan sudah memberikan pelbagai bantuan dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, tetapi ia memerlukan kerjasama yang menyeluruh.
"Institusi kewangan perlu memperluaskan pembiayaan tambahan dan pembiayaan alternatif lain yang digariskan oleh kerajaan di bawah bajet dan RMK-12," katanya dipetik.
Comments