Bank Negara turunkan OPR kepada 2.75%, inflasi kekal rendah
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 2 min read

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% dengan menyifatkanya sebagai langkah awal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kukuh dalam persekitaran inflasi yang sederhana.
Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memaklumkan selaras dengan keputusan itu, kadar siling dan lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3.0% dan 2.5%.
Penurunan OPR itu merupakan kali pertama dilakukan selepas bank pusat tersebut mengekalkan kadar tersebut sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.
"Langkah ini adalah tindakan awal (pre-emptive) untuk mengekalkan landasan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil, selaras dengan unjuran inflasi yang sederhana," kata BNM.
BNM menjelaskan pertumbuhan global terus menunjukkan tanda-tanda pengembangan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.
Namun begitu jelas jawatankuasa itu, ketidaktentuan mengenai perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik terus menjadi risiko utama terhadap kestabilan pasaran kewangan dan harga komoditi global.
Bagi ekonomi Malaysia, data terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan pada suku kedua tahun ini, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport, katanya.
BNM menjelaskan pertumbuhan seterusnya akan terus disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan gaji serta pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan.
"Aktiviti pelaburan pula dijangka berterusan melalui pelaksanaan projek berbilang tahun di sektor awam dan swasta serta inisiatif di bawah pelan induk nasional," ujar bank pusat itu.
Selain itu, hasil rundingan perdagangan yang baik, permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pelancongan yang rancak dijangka meningkatkan prospek eksport negara, jelasnya.
Bagaimanapun, BNM turut memberi amaran bahawa keseimbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan kekal condong ke arah negatif terutamanya disebabkan kelembapan dagangan global, sentimen yang lemah dan pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan.
Dalam pada itu, BNM melaporkan bagi tempoh lima bulan pertama 2025, kadar inflasi keseluruhan dan teras masing-masing mencatat purata 1.4% dan 1.9%.
"Inflasi sepanjang tahun ini dijangka kekal sederhana berikutan tekanan kos global yang terkawal dan tiada desakan permintaan domestik yang berlebihan.
"Impak dasar domestik yang diumum dan akan datang terhadap inflasi turut dijangka terhad, sejajar dengan keadaan kos yang sederhana di peringkat global," katanya.
Mengenai ringgit pula, BNM menyatakan prestasinya akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran, namun prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pelaksanaan reformasi struktur domestik menjadi asas sokongan jangka panjang kepada nilai mata wang negara.
"Reformasi struktur dan usaha menarik aliran masuk akan terus memberi sokongan berterusan kepada ringgit," tambah kenyataan itu.
Comments