Laporan terdapat bank-bank yang memberi kenaikan gaji dan bonus kepada pegawai kanan dalam suasana pandemik Covid 19 menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat mengenai keuntungan sektor itu yang didakwa terjejas akibat moratorium.
Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, pemberian kenaikan gaji, bonus dan insentif tersebut membuktikan bank-bank kekal untung walaupun memberikan moratorium dalam beberapa bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
"Hakikatnya keupayaan bank-bank membayar insentif seperti bonus merupakan bukti empirikal pemberian moratorium PKP 2020 tidak memberi kesan kepada perniagaan mereka.
"Malah, moratorium ini juga dapat membantu mengawal pinjaman tidak berbayar (NPL).
"Oleh itu, sangat aneh bank-bank dan kerajaan, terutama Kementerian Kewangan, berkeras bahawa moratorium pinjaman menyeluruh seharusnya ditamatkan.
"Mengapa berakhir sekiranya mereka masih dapat membayar bonus ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN itu, tidak salah bank-bank mencatat keuntungan atau membayar bonus kepada kakitangannya. Namun lebih mulia dalam keadaan kesusahan rakyat biasa yang melata, bank-bank turut berkongsi mengurangkan penderitaan itu.
"Tidak salah bagi syarikat, termasuk syarikat yang berkaitan dengan kerajaan untuk memberi penghargaan dan memberi insentif kepada usaha keras pekerja, bahkan ketika menghadapi masalah ekonomi dan krisis.
"Persoalan yang harus kita tanyakan ialah adakah kenaikan ini berkait langsung dengan prestasi bank-bank ini?
"Memang benar kebanyakan mereka memperoleh keuntungan yang sihat. Cuma, kita juga tidak boleh lupa bahawa sektor perbankan Malaysia amat terkawal.
"Jadi, apa yang mereka lakukan untuk mendapat keuntungan yang luar biasa ini?
"Semua bank, terutama bagi bank-bank GLC yang memiliki misi nasional harus lebih peduli terhadap rakyat dan tidak menekan jutaan rakyat Malaysia hanya untuk memperoleh pendapatan tambahan, yang tujuannya untuk membiayai bonus tinggi beberapa orang terpilih.
"Sekali lagi, ini adalah soalan-soalan yang mesti dijawab oleh ahli lembaga para bank dan Kementerian Kewangan," katanya lagi.
Comments