Sudah hampir seminggu banjir besar melanda Selangor namun isu yang bermain di media massa hanyalah salah menyalah antara Menteri Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Sedangkan isu sebenar yang harus ditangani adalah perubahan iklim atau Climate Change.
Bagi aktivis KEADILAN yang pernah menjadi Ahli Parlimen Balik Pulau dan Senator, Yusmadi Yusoff, ahli politik seharusnya berbahas mengenai perubahan iklim yang melanda dunia dan tidak ketinggalan Malaysia untuk memastikan tindakan atau polisi yang lebih sistematis digariskan dalam mengelak bencana daripada berulang.
Katanya, perubahan iklim telah menjadi isu utama di negara Eropah terutama Jerman yang pernah menghadapi banjir bandang akibat curahan hujan luar biasa Julai lalu, sebagaimana Malaysia.
Menurutnya, bencana itu kemudian menjadi perbahasan politik dan awam yang kemudian diangkat sebagai polisi kerajaan.
"Isu yang naik (perubahan iklim) memang menjadi sambutan hangat pengundi di Jerman mengambil kira pengalaman musibah mereka. Isu yang dibawa (parti politik) kemudiannya berkisar isu persekitaran, isu kelestarian. Itulah isu yang Green Party dan Free Democratic Party (FDP) mendapat sokongan yang sangat kuat. Parti konservatif CDU dan sebagainya kurang menarik perhatian.
"Bagi saya Malaysia sebuah negara yang kita lihat dengan kedudukan kesemenanjungan dengan kepulauan, saya rasa isu perubahan cuaca ini sangat penting. Pada saya mana mana pemimpin atau gerakan perjuangan parti yang tidak mengangkat isu ini mereka akan terlepas dalam permainan tersebut
"Apa yang berlaku di Selangor saya lihat adalah bibit bibit bermulanya kembali gerakan rakyat Reformasi, kerana saya difahamkan hari ini rombongan dari Utara, dari Johor semua akan berkumpul di Selangor membantu (mangsa banjir). Inilah gerakan rakyat yang bukan sahaja bersifat politik tetapi melangkaui politik.
"Bagi saya yang kita perlu perjuangkan dalam hal ini adalah 'climate justice' iaitu keadilan lingkungan," kata Yusmadi kepada Suara Keadilan.
Menurut Pengerusi pertubuhan Generasi KEADILAN itu lagi, perjuangan parti KEADILAN amat relevan dan dekat kepada isu berkenaan. Sekiranya Kerajaan Persekutuan atau ahli politik pemerintah tidak mahu atau tidak tahu untuk membawanya, ahli politik KEADILAN harus menanganinya.
"Dalam hal ini saya ucap tahniah kepada MB Selangor, anak muda yang menunjukkan kebolehan (menangani krisis pasca banjir). Saya rasa kita perlu sama sama mendukung beliau.
"Petang ini Datuk Seri Anwar sendiri akan membuat perlepasan rombongan dari Pulau Pinang (membantu Selangor). Beliau kelmarin bertungkus lumus di Selangor, hari ini ke Kedah dan Pulau Pinang untuk memberi semangat kepada anak muda, itulah yang dinamakan gerakan rakyat.
"Saya percaya dengan semangat itu kita akan lihat gelobang reformasi kedua akan berlaku. Iaitu gelombang nahdah reformasi untuk keadilan," katanya.
Perubahan iklim dan kaedah menanganinya serta menyesuaikan pembangunan dengan pemanasan global adalah isu penting di negara negara maju.
Malah banjir bandang yang melanda Jerman serta Belgium beberapa bulan lalu tidak disalahkan kepada pembalakan atau curahan hujan luar biasa, malah pakar kaji cuaca berkata dengan perubahan iklim, bencana seperti itu akan lebih kerap berlaku dan pemerintah perlu memikirkan langkah menanganinya.
Comments