Banjir besar di Pahang yang menengelamkan banyak kawasan baru baru ini lebih kepada isu pembalakan dan bukan setakat curahan hujan luar biasa.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) berkata, bantuan banjir juga didapati lambat tiba menyebabkan mangsa mengalami kesukaran yang teramat sangat.
"Perdana Menteri (PM) kata Pahang tidak bermasalah kerana ada pengalaman (banjir setiap tahun). Saya juga pergi ke Pahang. Ada daerah saya boleh catat terperinci di satu kawasan, satu minggu setelah banjir tidak ada langsung jentera Pejabat Daerah atau negeri yang sampai.
"Kelemahan ini harus ditangani, kerana pengalaman Pahang ini banjir setiap tahun. Jadi sepatutnya tahap kecekapan itu haruslah lebih baik.
"Masalah di Pahang bukan sahaja soal hujan tetapi pembalakan. Bagaimana kita biar dan anggap sepi kenyataan yang terang balak itu turun sampai ke depan rumah orang. Sebahagian besar masalah (banjir) itu kerana pembalakan.
"Ada balak haram, kelulusan memang betul (ada). Kerajaan Negeri jawab kami perlu kewangan. Tetapi biar jahaman rumah orang, biar mati? Perlu ada dasar yang jelas. Kesan di Pahang jangan kita nafikan.
"Saya cadangkan moratoriom semua pembalakan termasuk yang telah diluluskan. Kedua, jangan beri kelulusan baru tanpa mengira pangkat, darjat atau pengaruh politik," katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat, sesi pagi.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu juga membangkitkan soal kekeliruan Perdana Menteri dalam melantik Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri daripada kalangan bukan Menteri Besar sebagaimana di Selangor, sehingga menyukarkan arahan tugas kepada jentera kerajaan pada waktu krisis.
"Kita tahu ada kelemahan struktur yang saya minta PM ambil tindakan. Terutama kedudukan pengerusi MKM Negeri. PM tahu bila ada bencana PM akan serah kepada MKN. Begitu juga negeri. Nak ambil pengerusi MKN tiada kena mengena dengan jentera kerajaan negeri mengapa?
"Jadi saya minta itu dibetulkan supaya ada penyelarasan. Tak apa dari parti pembangkang pun. Arahan dari pengerusi MKN. Tidak boleh arahan dari pengerusi yang berasingan dari ketetapan dibuat MKN.
"Bukan MB tak ada upaya buat penyelarasan," katanya lagi.
Bagaimanapun, Anwar mengucapkan terima kasih kepada PM Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat kembali MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengerusi MKN Negeri selepas kelemahan proses evakuasi banjir pada Disember 2021 dikritik keras rakyat.
Comments