Banjir: Kenal pasti kerosakan, kerajaan bayar pampasan - PM
- Suara Keadilan

- Dec 3, 2024
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Mangsa banjir kilat boleh memohon untuk mendapatkan ganti rugi akibat bencana itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan untuk dipertimbangkan.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat salah faham mengatakan kerosakan akibat banjir kilat tidak diberi ganti rugi.
''Soal banjir kilat ini, kalau dikenal pasti kerosakan sama ada kehilangan haiwan ternakan atau kemudahan lain di rumah, itu memang ada ruang untuk mereka mohon melalui JKM dan jentera kerajaan dan kita boleh pertimbangkan supaya dapat ganti rugi.
''Ada salah faham sikit... ada yang mengatakan bahawa banjir kilat ini kalau ada kerosakan, tidak ada ganti rugi.. tidak.. kerajaan tetap akan memberi pertimbangan, cuma ia tidak boleh segera kerana perlu ikut proses dan rekodnya,'' katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu mengenai justifikasi berhubung dasar dan polisi kerajaan yang dilihat seolah-olah tidak mengiktiraf mangsa banjir kilat daripada mendapat bantuan bencana atas alasan tidak berpindah atau ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mengulas mengenai kononnya mangsa tidak mendapat bantuan disebabkan tidak berpindah ke PPS, Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, pemindahan ke PPS adalah peraturan yang ditetapkan, tetapi masih terdapat pengecualian.
"Umpamanya kadang-kadang OKU (orang kurang upaya), atau masalah orang tua yang lambat, itu diberi juga pertimbangan dan kalau ada rayuan-rayuan khas.
''Tetapi ada munasabah kita tetapkan peraturan PPS kerana kalau tidak, ia tidak boleh dibanci. Ini berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya," ujarnya kepada dewan.









Comments