top of page

Bakar karikatur PM: Tindakan provokasi cemar maksud asal protes

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 23
  • 2 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Tindakan sekumpulan peserta demonstrasi di Kota Kinabalu yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai tidak wajar dan melampaui batas kesopanan dalam menyatakan perbezaan pandangan.


Pengarah Strategi KEADILAN Selangor Saifuddin Shafi Muhammad (gambar), menegaskan bahawa tindakan provokatif seperti itu bukan sahaja merosakkan mesej asal protes, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.


"Saya memandang serius tindakan tersebut. Perbuatan provokasi tidak akan memperkuat tuntutan malah menjejaskan maksud asal dan merosakkan keharmonian bersama.


"Saya menyeru semua pihak termasuk penyokong kerajaan agar tidak bertindak balas secara emosional. Pendekatan konfrontasi hanya akan melebarkan jurang, bukannya membina jambatan persefahaman," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, kira-kira 100 peserta demonstrasi – kebanyakannya pelajar universiti – berhimpun bagi membantah skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan di Sabah dan mendesak tindakan terhadap mereka yang terlibat.


AMK Sabah berhubung hal itu turut mengecam tindakan membakar karikatur Perdana Menteri dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan prinsip perjuangan menentang rasuah yang diperjuangkan Datuk Seri Anwar sejak 1998.


Mengulas lanjut, Saifuddin melihat demonstrasi tersebut dengan sikap terbuka, bahawa ia memberi isyarat masih wujud jurang persepsi dan keresahan dalam kalangan rakyat dalam isu melawan rasuah yang perlu ditangani secara inklusif.


"Dalam demokrasi matang, rakyat berhak bersuara. Namun, teguran perlu disampaikan secara tertib dan melalui saluran wajar. Kerajaan juga perlu terbuka untuk mendengar dan menjelaskan dasar-dasar secara telus," katanya.


Justeru, beliau mencadangkan agar sesi dialog bersama rakyat diperluaskan bagi merapatkan jurang kefahaman dan memperkukuh keyakinan terhadap agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.


"Malaysia MADANI dibina atas prinsip keadilan sosial, suara rakyat, dan penolakan politik kebencian. Sebagai negara majmuk, kita semua memikul tanggungjawab mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara," tegasnya.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki baru-baru ini telah mengesahkan bahawa tiga individu termasuk dua ADUN akan didakwa berhubung skandal lesen perlombongan di Sabah yang tular menerusi rakaman video pada November lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page