
Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Kerajaan BN pada Jumaat lalu amat mengecewakan kerana tidak menyediakan perancangan tersusun menghadapi kemelesetan ekonomi global pada tahun hadapan.
Menurut KEADILAN Cabang Kemaman, Terengganu, peperangan Rusia - Ukranie yang tidak menunjukkan tanda reda berkemungkinan akan memburukkan lagi krisis kekurangan gandum dan jagung serta kenaikan harga bahan api kerana kedua dua negara adalah pengeluar bahan api dan produk pertanian.
"Bajet 2023 yang dibentangkan memberi isyarat negara tidak mempunyai dasar fiskal mapan dan juga kaedah rangsangan ekonomi berdaya saing bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global
"Dengan jumlah cadangan bajet paling tinggi dalam sejarah, melebihi RM300 bilion di kala negara negara masih bergelut dengan hutang 1MDB dan juga pertumbuhan ekonomi yang masih dalam fasa pemulihan Covid-19, dengan perbelanjaan kerajaan yang sebegini besar akan pasti lebih menekan kadar hutang negara," kata kenyataan Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Kemaman.
Menurut kenyataan itu lagi, Belanjawan 2023 sepatutnya memasukkan perancangan ransangan ekonomi dan persediaan rakyat mengharungi bencana ekonomi.
Malangnya, kata kenyataan itu, hal berkenaan tidak disediakan.
"Bajet 2023 juga tiada dimasukkan dasar-dasar untuk merangsang ekonomi supaya mempunyai asas yang kukuh untuk mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia tahun hadapan.
"Bajet banyak ditumpukan kepada bantuan dan subsidi yang tidak menyelesaikan permasalahan utama jangka masa panjang, tetapi memberi kelegaan sementara kepada rakyat. Negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang stabil dan juga merapatkan kesenjangan ekonomi rakyat yang makin melebar pasca Covid 19
"Bajet ini juga dilihat hanya sebagai gula-gula kepada rakyat, lebih-lebih lagi menghampiri Pilihan Raya Umum 15," kata kenyataan itu lagi.
Tambah kenyataan itu, pentadbiran PM Ismail Sabri sepatutnya menyediakan pelan ekonomi mapan. Sebaliknya sikap kerajaan sekarang membuktikan tiada kehendak politik yang tulus untuk melaksanakan dasar ekonomi yang terbaik membela rakyat.