top of page

Bahasa Melayu tonggak perpaduan, hak minoriti dijamin Perlembagaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Yuneswaran menyeru rakyat Malaysia memahami budaya dan mengutamakan Bahasa Malaysia erat perpaduan
Yuneswaran menyeru rakyat Malaysia memahami budaya dan mengutamakan Bahasa Malaysia erat perpaduan

Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan kerana ia merupakan asas utama keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran.


Menurut beliau, pengiktirafan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah menafikan hak kaum lain untuk mengamalkan bahasa dan budaya masing-masing, malah perkara itu telah dijamin dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Walaupun saya berbangsa India dan lahir di Malaysia, saya akur bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.


"Inilah bahasa kebanggaan saya kerana ia bahasa negara kita, dan dalam masa yang sama, bahasa-bahasa lain juga dibenarkan untuk dipraktikkan," kata Yuneswaran dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Beliau menegaskan bahawa isu perkauman dan bahasa sering kali diperbesarkan oleh segelintir ahli politik, sedangkan realitinya rakyat Malaysia hidup dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.


"Hak semua kaum sebenarnya terpelihara. Kalau masih ada yang cuba timbulkan isu, kecualilah orang politik yang sengaja memainkan sentimen ini," kata Ahli Parlimen Segamat itu.


Mengulas kepentingan interaksi antara kaum, Yuneswaran menjelaskan bahawa penguasaan bahasa dan kefahaman budaya mampu merapatkan jurang antara masyarakat, sekaligus memperkukuh perpaduan nasional.


"Bila kita memahami bahasa dan mendekati budaya, inilah yang menjadikan Malaysia lebih hebat," ujarnya.


Kunjungi semua negeri, erat perpaduan


Yuneswaran turut menggesa rakyat Malaysia supaya mengambil peluang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengunjungi semua negeri di dalam negara bagi mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya, bahasa dan makanan tempatan.


Beliau berkata, pengalamannya mengembra ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah mampu membuka minda rakyat tentang kekayaan identiti Malaysia yang sebenar.


"Bila kita merantau, banyak benda kita belajar. Budaya, cara hidup, bahasa dan masakan. Ini semua membentuk kefahaman dan rasa hormat antara kita," katanya.


Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi bagaimana interaksi dengan rakan-rakan daripada kaum dan latar belakang berbeza telah memperkayakan pengetahuannya terhadap budaya tempatan.


"Saya gemar makan Nasi Dagang, Nasi Ambeng dan masakan Melayu sebab saya ambil inisiatif untuk ambil tahu. Itu kegemaran saya. Inilah kekuatan Malaysia," katanya sambil menambah bahawa pendekatan saling memahami ini menjadikan hubungan antara kaum lebih rapat dan harmoni.


Tolak fahaman perkauman


Yuneswaran turut menzahirkan rasa syukur kerana Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan bertuah berbanding banyak negara lain yang pernah beliau lawati.


"Saya bangga lahir, membesar, belajar dan berkhidmat di negara inin dan saya tidak pernah rasa seperti orang asing," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar menolak fahaman perkauman, ekstremisme dan rasisme, sebaliknya terus bersatu padu dalam membina negara yang aman, damai dan sejahtera.


"Kerajaan Madani sentiasa menumpukan usaha menyatupadukan rakyat melalui dasar yang lebih menyeluruh. Bersama-sama, kita mampu membina Malaysia yang lebih kukuh," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page