top of page

Bagaimana jika Anwar-Trump rintis pembentukan negara Palestin?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 27
  • 2 min read
Presiden Trump dan PM Anwar mempunyai karisma tersendiri dalam hubungan diplomatik antarabangsa
Presiden Trump dan PM Anwar mempunyai karisma tersendiri dalam hubungan diplomatik antarabangsa

Oleh: Akmal Manaf


Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand menyaksikan peranan penting Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudah cara rundingan tersebut sehingga ditandatangani perisytiharan damai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


Perjanjian yang dimeterai antara Thailand dan Kemboja itu menandakan langkah signifikan ke arah memupuk keamanan dan memperkukuh hubungan baik antara kedua-dua negara berkenaan.


Mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Chen Heng berkata, di sebalik kejayaan itu satu pencapaian istimewa turut menyaksikan lahirnya 'Template Diplomatik Kuala Lumpur'.


''Peristiwa yang disaksikan bersama oleh Datuk Seri Anwar (PMX) dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, telah mencipta satu model unik yang menggabungkan kredibiliti serantau dengan pengaruh kuasa besar.


''Model ini secara langsung membuka persoalan yang lebih besar seperti (What-If) jika sinergi 'Anwar-Trump' ini diterapkan untuk merintis jalan damai bagi pembentukan negara Palestin yang berdaulat?


''Untuk memahami potensi ini, kita perlu melihat kelemahan usaha lalu, khususnya Sidang Kemuncak Camp David 2000. Rundingan tersebut gagal kerana tiada keyakinan Palestin terhadap proses mediasi AS.


Andre Lai Chen Heng
Andre Lai Chen Heng

''Lebih penting, perjanjian itu tidak mendapat kesahihan (legitimacy) yang diperlukan daripada dunia Islam secara kolektif. Di sini nilai teras kepimpinan PMX dan falsafah Malaysia MADANI bersinar,'' katanya sambil memuji kerajaan pimpinan Anwar itu.


Andre Lai menyifatkan PMX sebagai tokoh yang dihormati dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pemimpin yang menjunjung tinggi nilai ihsan dan hormat MADANI, mampu menyediakan kesahihan moral dan agama yang sekian lama hilang dalam mediasi konflik tersebut.


Katanya, penglibatan langsung Malaysia berfungsi sebagai penjamin kepada rakyat Palestin bahawa aspirasi mereka terutama berkenaan isu sensitif seperti status Baitulmaqdis dan pelarian, dihormati dalam kerangka OIC.


''Lebih penting lagi, hubungan terbuka PMX dengan pelbagai pihak Palestin membolehkan satu meja rundingan yang inklusif, memastikan sebarang perjanjian akhir mendapat mandat yang luas dan tidak digagalkan oleh perpecahan dalaman.


''Ini selaras dengan prinsip keterangkuman yang dianjurkan oleh Malaysia MADANI di persada ASEAN.


''Presiden Trump dengan pengaruh ekonomi dan keselamatan AS akan bertindak sebagai penguat kuasa utama. Ini melibatkan penggunaan tekanan dan insentif untuk mendapatkan persetujuan mengenai isu-isu paling sukar termasuk penentuan sempadan akhir,'' katanya lagi.


Selain itu, Andre Lai juga membayangkan AS turut memimpin penubuhan Dana Pembangunan dan Pembinaan Semula berskala besar.


Ujarnya 'ganjaran ekonomi' itu, yang diikat dengan kejayaan penghentian konflik, berfungsi sebagai dorongan transaksi yang kritikal sekali gus memberikan insentif praktikal kepada pihak yang keletihan berperang untuk memuktamadkan perjanjian damai yang berkekalan.


''Pelan yang terhasil, yang boleh digelar Pelan Hala Tuju Keamanan Kuala Lumpur–Washington (KL–US Accords), akan menjadi gabungan yang ampuh.


''Walaupun senario ini masih di peringkat hipotesis atau lebih kepada fiksyen dalam filem, jika dapat dimeterai, kejayaan Malaysia sebagai orang tengah dalam Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur akan membuktikan keupayaan negara di bawah kepimpinan PMX untuk memacu penyelesaian konflik,'' katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page