
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempertikaikan keputusan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali yang memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk mengadakan sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya.
Beliau berkata peruntukan itu sepatutnya disiasat di peringkat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara.
"Apa yang jadi masalah sekarang apabila APEC dijalankan secara maya. Mengapa perlu ada perbelanjaan yang begitu besar.
"Setahu saya, sidang online adalah sesuatu yang agak murah. Adakah Yang Berhormat Gombak sedia perkara ini disiasat baik oleh PAC atau jabatan audit untuk memastikan bahawa perbelanjaan RM66 juta atau RM25 juta tahun depan dibuat secara 'accountable' dan telus kerana sukar dipercayai satu mesyuarat memakan perbelanjaan besar," katanya di Dewan Rakyat.
Azmin membalas bahawa peruntukan itu tidak dipertikai oleh beberapa ahli parlimen pembangkang seperti Tuaran dan Bangi namun beliau tidak bersetuju apabila pembangkang mengatakan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan mempertikaikan perkara itu.
"Pontian tidak pertikai, Pontian minta penjelasan," katanya.
Jawapan Azmin itu menggamatkan dewan serta menyebabkan beberapa ahli parlimen pembangkang mentertawakannya.
"Minta penjelasan samalah macam pertikaian Gombak. Ini sekolah Melayu mana ini?" soal Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Azmin kemudian menuduh Guan Eng menghalang beliau memberikan penjelasan kerana mahu mempolitikkan isu tersebut.
"Mana main politik? Kita cakap pasal angka, pasal perbelanjaan, jangan main-main di sini," kata Guan Eng.
Ketika Guan Eng masih bercakap, Azmin dengan tiba-tiba menggulungkan ucapannya dan mengucapkan terima kasih kepada speaker serta menyatakan beliau akan menjawab secara bertulis.
Comments