
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru jentera parti penerangan dan akar umbi supaya bersedia dan bersama-sama turun padang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
Dalam Konvensyen Penerangan KEADILAN hari ini, beliau sedar parti yang diterajuinya menghadapi cabaran luar biasa ketika ini.
Namun, beliau mahu setiap ahli berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti.
"Gelombang politik ada pasang surutnya, itu perkara biasa. Tapi penentunya adalah agenda perubahan dan memastikan kita konsisten dengan prinsip perjuangan.
"Pertubuhan parti ini menghadapi pelbagai pahit getir. Kita juga diuji ketika mula pegang tampuk kuasa. Kita diuji masa susah dan masa senang.
"Bila tampuk kuasa banyak kecuaian, kita hilang dari arus landasan perjuangan.
"Sebab itu kita perlu kekal dengan prinsip keadilan," katanya dalam ucapan kepada jentera parti penerangan.
Pada masa sama, Anwar berpandangan bahawa jentera penerangan perlu bergerak aktif bagi menangkis segala dakwaan mengenai persepsi terhadap kestabilan parti KEADILAN ketika ini.
"Masalah dalaman parti masih menghantui kita. Saya sebagai presiden sentiasa mendengar pandangan akar umbi dan kita bertindak tegas.
"Sebabnya sekarang ini ada kempen tersusun, minggu ini ada orang umum keluar parti, minggu depan ada lagi orang umum keluar parti. Ia mewujudkan persepsi seolah-olah kita ada masalah.
"Hakikatnya, kekuatan cabang sedikit pun tidak terjejas. Mereka yang umum baru keluar parti itu tidak betul sebab mereka tidak pernah bersama kita dan tidak pernah bertemu dengan saya.
"Sebab itu kita perlu perkuatkan jentera, ada pembersihan di cabang. Saya nasihatkan jangan tunggu pilihan raya umum. Kita akan lawan, insya-Allah lebih kuat dari dahulu.
"Semangat perlu kental. Ini masa untuk melonjak. Turun gelanggang, lawan tetap lawan," katanya.