Ayam segar di Sidang DUN Perak: 'Harga naik, Exco hanya dengar cakap pegawai'



Tindakan ADUN Hulu Kinta, Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad membawa seekor ayam segar menggegarkan sidang DUN hari ini.


Arafat mengangkat seekor ayam segar kerana membantah harga bahan makanan itu yang melambung di pasaran namun Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunong Semanggol tidak berbuat apa-apa untuk mengawal harga ayam.


"Isu yang merunsingkan rakyat sekarang ialah peningkatan harga barang. Isu saya nak sentuh sikit.


"Maknanya dari hari Jumaat sampai hari ini, saya tengok, perhati jawapan Exco yang bertanggungjawab, iaitu Gunong Semanggol, tak ada satu perkara pun yang meyakinkan rakyat. Tak ada satu rancangan atau tindakan konkrit ke arah penyelesaian masalah.


"Apa yang saya faham Gunong Semanggol dengar dari pegawai sampaikan di sini. Itu yang kita nampak," katanya lalu mengangkat seekor ayam segar yang dikatakan dibeli di kedai di DUN Gunong Semanggol.


Arafat juga menunjukkan resit sebagai bukti pembelian yang menunjukkan harga telah melambung sejak beberapa minggu lalu sehinggalah ke hari ini.


"Hari ini saya bawa satu hadiah kepada Gunong Semanggol. Sebab resit ni, ayam ni kita beli dari sana. Maknanya dalam resit ni untuk makluman Dewan, sebelum 7 Disember harga ayam di Gunong Semanggol sendiri dah mencecah RM10 lebih sekilo, lepas 7 Disember saya difahamkan keluar satu skim harga maksima Keluarga Malaysia oleh kementerian Perdagangan Dalam Negeri dengan harga RM9.30.


"Sebagai exco apa dia lakukan? Ada tak buat pertemuan, dialog bersama peruncit-peruncit? Ada tak buat dialog dengan pengusaha-pengusaha?


“Ada tak pertemuan dan dialog dengan pemborong-pemborong untuk melihat masalah rakyat?” kata Arafat lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian<