Akta Univesiti dan Kolej Univesiti (AUKU) 1971 yang sewajarnya telah dilonggarkan tidak ketahui ke mana hala tujunya di bawah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Menurut Pengerusi Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak, Dr Noraini dalam sidang Kamar Khas Parlimen telah menyatakan pendirian bahawa AUKU masih lagi relevan dan akan memperkasakan Jawatankuasa Teknikal AUKU yang telah ditubuhkan sejak tahun 2018
Bagaimanapun, menurut Haziq, masyarakat awam tidak dapat melihat hasil pemerkasaan jawatankuasa itu malah tidak boleh dipastikan status penubuhannya, sama ada wujud atau pun tidak.
"Tambahan pula, satu jawatankuasa lain yang diberi nama Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan AUKU 1971 telah ditubuhkan untuk meneliti secara menyeluruh cadangan penambahbaikan AUKU dengan keahlian pakar Perlembagaan, wakil Naib
Canselor, wakil mahasiswa dan lain-lain.
"Untuk Jawatankuasa Teknikal AUKU, berdasarkan maklumat dan dokumen yang telah kami peroleh, tiada mesyuarat yang pernah diadakan walaupun sekali bagi jawatankuasa ini," katanya dalam sidang media, semalam.
Tambah Haziq, Mesyuarat Jawatankuasa Bilangan 1 Tahun 2020 yang seharusnya diadakan pada 16 Oktober 2020 telah ditangguhkan kepada 30 Oktober 2020 dan kemudiannya ditangguhkan lagi sehingga ke satu tarikh yang tidak diketahui sehingga hari ini.
Hal tersebut, katanya, diperkukuh lagi oleh jawapan Menteri terhadap dua Pertanyaan Lisan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat masing-masing pada 29 September 2021 dan 18 November 2021 terkait hasil dapatan penubuhan
Jawatankuasa berkenaan dan bilangan mesyuarat Jawatankuasa yang pernah diadakan.
Menteri tidak menjawab bilangan mesyuarat oleh jawatankuasa malah mengaitkan penganjuran sesi libat urus secara rambang, dan sesi berkenaan hanya dilakukan sebelum setiap kali Pertanyaan Lisan terkait isu ini diajukan di Parlimen.
"Kami juga ingin mempersoalkan setiap hasil dapatan bagi beberapa sesi libat urus terkait harapan mahasiswa terhadap usaha mengangkat autonomi mahasiswa yang telah dinyatakan oleh Menteri pada sidang Kamar Khas seawal Ogos 2020 iaitu untuk
melihat semula peruntukan di bawah Seksyen 15 dan Seksyen 16 AUKU berkaitan pertubuhan pelajar serta memasukkan peruntukan penubuhan kesatuan mahasiswa dan mahasiswa diberi kuasa untuk mengendalikan hal ehwal kewangan persatuan.
"Dapatan ini hanya diulang-ulang tanpa Menteri menunjukkan satu sikap yang jelas untuk melaksanakan cadangan-cadangan tersebut," katanya.
Tegas Haziq, Kesemua peristiwa yang dinyatakan itu menatijahkan sikap acuh tak acuh Menteri dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap AUKU dengan kegagalan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk berfungsi. Juga penganjuran sesi libat urus secara rambang yang hanya bersifat tokenisme tanpa pelan strategik melaksana dapatan daripada libat urus tersebut.
Pendirian rasmi Biro Mahasiswa AMK adalah ingin melihat AUKU dimansuhkan kerana sifatnya yang bukan sahaja tidak mesra mahasiswa malah tidak mesra terhadap doktrin autonomi universiti.
"Namun keculasan Menteri dalam melaksanakan komitmen yang dinyatakannya sangat dikesali kerana menjadi batu penghalang terhadap usaha pengembalian Kesatuan Mahasiswa dan penyediaan pelantar kepada mahasiswa supaya bersifat
lebih mandiri, termasuklah kebenaran menguruskan kewangan persatuan sendiri dan banyak lagi yang menjadi salah satu persiapan ampuh dalam mendepani dan menjayakan usaha Undi18 bagi segmen mahasiswa," katanya lagi.
Sehubungan itu, Biro Mahasiswa AMK akan menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, untuk meminta hal ini dibangkitkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Pendidikan, dan menggesa respons objektif daripada Menteri Pengajian Tinggi terkait persoalan persoalan yang dibangkitkan.
Turut sama dalam sidang media berkenaan ialah Syamil Luthfi, Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Wan Afiq Ikhwan Wan Alias, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Liau Pin Chun, Presiden UM New Youth Association (UMANY)
Comments