top of page

Atasi masalah perkhidmatan kesihatan, bukan tumpu pakaian jururawat

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jun 16, 2023
  • 2 min read


Masalah perkhidmatan kesihatan di Malaysia perlu diselesaikan terlebih dahulu berbanding isu baju jururawat yang 'ketat' sebagaimana ditimbulkan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.


Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Sim Tze Tzin, ruang perbahasan Kertas Putih Kesihatan semalam tidak perlu ditimbulkan isu pakaian sedangkan banyak lagi hal mendesak lain yang boleh dibahas.


"Malaysia baru sahaja bangkit daripada wabak yang membawa maut. Kerajaan perpaduan kini memberi tumpuan untuk mereformasi Kementerian Kesihatan bagi menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan.


"Tetapi apa yang ada dalam fikiran Ahli Parlimen PAS? Pakaian jururawat. Ayuh PAS/PN. Adakah ini yang terbaik yang boleh anda lakukan?" soalnya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah menasihatkan Wan Razali agar menuruti ajaran Islam untuk menundukkan pandangan berhadapan jururawat yang dianggap berpakaian tidak sesuai.


"Jika anda tidak boleh menerimanya, jangan pandang," katanya

Jimmy Puah

Jimmy Puah turut menggesa Razali menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada jururawat di Malaysia.


Tambah beliau, negara sedang mengalami masalah kekurangan jururawat akibat masalah brain drain, hal itu patut dibahaskan semalam untuk mencari penyelesaian.


"Namun jururawat kita kini terpaksa bersabar dengan kenyataan dangkal yang secara tidak langsung akan menjejaskan semangat mereka. Ini tidak akan mendatangkan faedah kepada kita untuk meyakinkan mereka untuk tinggal di Malaysia.


"Pesakit yang dimasukkan ke hospital hanya fikirkan tentang kesihatan mereka, tiada sesiapa yang waras datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebaliknya memerhatikan pakaian jururawat.


"Kita seharusnya menghargai pengorbanan dan usaha yang disumbangkan oleh jururawat dalam menyelamatkan nyawa dan berkhidmat kepada negara dan bukannya mempersoalkan pakaian mereka," katanya dalam satu kenyataan.


Semalam Razali mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya terlalu ketat dan tidak mematuhi syariah.


Beliau membawakan contoh pakaian jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan di Pahang yang membenarkan pakaian "lebih sesuai".



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page