top of page

Ashwad, bekas KP Astro Awani dilantik Ketua Pengarah Penyiaran baharu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 11 hours ago
  • 2 min read
Datuk Fahmi (kanan) menerima kunjungan hormat Ashwad dan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Penyiaran
Datuk Fahmi (kanan) menerima kunjungan hormat Ashwad dan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Penyiaran

Oleh: Helmi Foad


Bekas Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatan beliau baru-baru ini.


Pengumuman itu dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selepas menerima kunjungan hormat Ashwad dan barisan pengurusan tertinggi Jabatan Penyiaran di pejabatnya di Angkasapuri hari ini.


Beliau turut mengumumkan pelantikan Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, selain Sharifah Zainah Syed Ahmad sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Strategik).


Dr Sharifah Adlina sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) di Kementerian Perladangan dan Komoditi.


Fahmi berkata gandingan kepimpinan baharu itu diyakini mampu memperkukuh lagi peranan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar awam utama negara.


"Pendengar dan penonton kini banyak mendapatkan maklumat melalui telefon pintar berbanding televisyen atau radio. Oleh itu, Jabatan Penyiaran perlu memastikan kandungan yang disampaikan kekal sesuai, diminati dan terus relevan dengan perkembangan teknologi serta corak penggunaan media masyarakat.


"Saya telah berpesan kepada Ketua Pengarah yang baharu agar perubahan dilaksanakan secara konstruktif serta mengenal pasti pendekatan terbaik untuk mengemudi jabatan yang mengendalikan enam stesen televisyen dan 34 stesen radio," katanya dipetik media tempatan.


Beliau menambah kerjasama antara Ashwad dan barisan timbalan ketua pengarah akan membantu memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih pantas, berkesan dan sampai ke peringkat akar umbi.


Ashwad, 40, yang dilahirkan pada 28 Oktober 1985 di Alor Setar, Kedah, merupakan antara pasukan pengasas Astro Awani pada 2007 ketika saluran berita berbayar itu mula beroperasi.


Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran sebelum meningkat naik sebagai penerbit, pengulas isu semasa dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 1 Februari 2021.


Sepanjang hampir dua dekad dalam industri media, beliau terlibat dalam pelbagai liputan besar termasuk pilihan raya umum, perhimpunan antarabangsa serta isu-isu keselamatan dan kemanusiaan.


Antara pengalaman paling signifikan ialah penyertaannya sebagai anggota delegasi Malaysia dalam misi flotila kebebasan Gaza pada 2010 menaiki kapal MV Mavi Marmara yang kemudiannya menjadi asas kepada liputan eksklusif beliau.


Beliau juga pernah menyandang jawatan Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (2023–2025), memperluas jaringan kerjasama media dua negara.


Sepanjang kariernya, Ashwad menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Khas Juri dan Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa, selain Anugerah Liputan Berita TV Terbaik menerusi laporan “Catatan Saksi Mavi Marmara”.


Dalam kenyataannya, Ashwad bertekad untuk meneruskan legasi transformasi yang telah dimulakan sebelum ini serta memastikan RTM kekal sebagai platform penyiaran awam yang diyakini, berintegriti dan responsif terhadap perubahan landskap media digital.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page