ASEAN selaras usaha tangani cabaran media sosial - Fahmi
- Suara Keadilan
- 29 minutes ago
- 1 min read

Negara-negara ASEAN bakal memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran media sosial melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata deklarasi yang mencerminkan kesepakatan rantau ini untuk membentuk strategi bersama menangani ancaman digital terhasil dari perbincangan menteri-menteri penerangan ASEAN yang diadakan Mei lalu di Bandar Seri Begawan.
"Menerusi perbincangan itu, rata-rata menteri komunikasi dari rantau ASEAN telah bersetuju kita perlukan satu strategi bersama.
"Kita perlu bersatu hati mewujudkan pendekatan dan perundangan yang seumpama bagi menghadapi isu keselamatan dalam talian seperti penipuan dan judi dalam talian," katanya dipetik.
Sementara itu menurut Fahmi, deklarasi tersebut yang bakal menjadi dokumen utama dijangka diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan datang.
Beberapa perkara akan diselaraskan antara menteri-menteri ASEAN yang menjaga portfolio penerangan untuk mendepani cabaran media sosial.