top of page

ASEAN perlu kekalkan perpaduan, keberanian hadapi cabaran global - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 9
  • 2 min read
PM Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58)
PM Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58)

Oleh: Helmi Mohd Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ASEAN agar terus memelihara perpaduan dan keberanian dalam menghadapi cabaran global yang kian mencabar, sambil menegaskan kepentingan suara rantau ini kekal relevan, dihormati dan berpaksikan nilai bersama.


Perdana Menteri menekankan bahawa kekuatan ASEAN bukan terletak pada ketiadaan ketegangan sebaliknya komitmen anggota pertubuhan serantau itu dalam mengurus perbezaan melalui sikap saling menghormati, dialog berterusan dan pencarian konsensus.


"Kekuatan ASEAN inilah jaminan keamanan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat seluruhnya," tegas beliau di hadapan barisan menteri luar dan pemimpin diplomatik negara-negara anggota ASEAN ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) di Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi AMM-58 dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Dalam ucapannya, Anwar juga menyentuh pelbagai isu serantau dan global termasuk krisis Myanmar, konflik di Gaza dan Ukraine serta ketegangan yang meningkat di Timur Tengah, sambil menegaskan bahawa ASEAN mesti menjadi pihak yang mempertahankan prinsip multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.


"Sistem pelbagai hala tidak akan bertahan jika prinsipnya hanya dipertahankan bila selesa. ASEAN mesti memilih untuk teguh berpegang kepada aturan, walau ketika pihak lain memilih untuk mengundur," ujar beliau.


Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend global yang menyaksikan perdagangan semakin dipengaruhi kuasa geopolitik dan menyeru agar dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN diselaraskan lebih erat agar rantau ini dapat bertindak secara strategik dan bersatu.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ASEAN perlu memperkukuh asas dalaman dengan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, pelaburan bersama, serta mempercepat integrasi ekonomi serantau sebagai langkah penting untuk mengekalkan ketahanan dan daya saing jangka panjang.


"Kita tidak boleh membenarkan dunia dibahagi kepada ‘spheres of influence’ dan keputusan tentang rantau ini dibuat oleh pihak luar. ASEAN tidak akan dibicarakan tanpa kehadiran kita," tegasnya lagi.


Dalam ucapan penuh semangat itu, Anwar turut mengalu-alukan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN menjelang Oktober dan menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong proses integrasi negara tersebut ke dalam komuniti serantau.


Beliau turut berkongsi penghargaan terhadap kepercayaan yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin ASEAN, sambil menyatakan keyakinan bahawa peranan dan pengaruh ASEAN di peringkat global kini semakin diiktiraf termasuk minat yang ditunjukkan oleh pemimpin Afrika Selatan dan Brazil untuk turut serta dalam sidang akan datang.


Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru agar sidang kali ini menjadi titik tolak untuk memperkukuh kesepaduan, daya tahan dan kredibiliti ASEAN sebagai komuniti yang bergerak dengan tujuan yang sama demi kemakmuran rakyat serantau.


"ASEAN bukan sekadar negara-negara bergerak selari, tetapi satu komuniti yang bergerak dengan tujuan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page