top of page

APUMadani 2025: Usahawan MADANI bakal terima pengiktirafan PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 19
  • 2 min read

Datuk Mustaffa (tiga dari kiri) menghadiri perbincangan Anugerah Perdana Usahawan Madani 2025
Datuk Mustaffa (tiga dari kiri) menghadiri perbincangan Anugerah Perdana Usahawan Madani 2025

Konsortium Usahawan Madani (KUSMA), Majlis Belia Malaysia (MBM), Yayasan Belia Malaysia (YBM), Persekutuan Alumni UiTM (PAU) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penganjuran Anugerah Perdana Usahawan Madani 2025 (APUMadani) yang dijadual berlangsung pada Disember depan.


Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), disaksikan oleh Pengerusinya Datuk Hj Mustaffa Kamil Ayub, yang juga dilantik sebagai penasihat kepada APUMadani.


Menurut satu kenyataan, kerjasama tersebut bukan sahaja memperkukuh jaringan antara organisasi, malah akan membuka peluang kepada lebih ramai usahawan muda untuk menonjolkan pencapaian mereka di peringkat nasional.

"APUMadani bakal menjadi platform penting untuk mengiktiraf usahawan yang menzahirkan nilai-nilai MADANI seperti kebertanggungjawaban, integriti, inovasi dan kesejahteraan sosial," kata kenyataan itu.

Majlis menandatangani MoU APUMadani 2025 yang disaksikan oleh Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil
Majlis menandatangani MoU APUMadani 2025 yang disaksikan oleh Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil

Sebanyak 210 usahawan terpilih akan diberikan penghargaan melalui pelbagai kategori termasuk inovasi perniagaan, pembangunan komuniti, serta keberhasilan eksport.


Majlis penganugerahan berprestij itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol penghormatan negara terhadap sumbangan besar golongan usahawan.


Bagi memastikan penganugerahan ini benar-benar memberi nilai, penganjur akan melantik panel juri profesional yang terdiri daripada tokoh industri, akademik serta pemimpin masyarakat.


Proses penilaian akan dijalankan dengan teliti dan berintegriti, memastikan hanya usahawan yang benar-benar menepati kriteria dan prinsip MADANI menerima pengiktirafan tersebut.


Penganjuran APUMadani dijangka memberi impak positif bukan sahaja kepada penerima anugerah, malah kepada ekosistem keusahawanan negara secara keseluruhannya.


Kerjasama antara KUSMA, MBM, YBM, PAU dan PERDASAMA ini diyakini mampu memperkukuh jaringan strategik antara usahawan, agensi kerajaan serta pertubuhan belia, seterusnya memperluas peluang kolaborasi di masa hadapan.


"Majlis ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol komitmen untuk membina masa depan ekonomi negara yang lebih mapan," kata kenyataan itu lagi.


APUMadani dijangka memberi impak positif kepada ekosistem keusahawanan negara seiring agenda Malaysia MADANI yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, berintegriti serta berteraskan kesejahteraan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page