KEADILAN maju setapak lagi dengan memperkenalkan aplikasi pengundian secara atas talian bagi pemilihan jawatan jawatan parti kali ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa, aplikasi yang julung julung kalinya dibangunkan oleh sebuah parti politik itu boleh digunakan untuk mengemaskini daftar pemilih dan persetujuan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT).
Katanya, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun dari Google Play Store bagi mereka yang menggunakan telefon pintar yang dioperasikan Android.
Manakala bagi pengguna iPhone, katanya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat masih lagi menanti kelulusan dari Apple (Malaysia) untuk anggota memuat turun aplikasi dari Apple App Store yang menggunakan operasi iOS.
"Semenjak aplikasi diluncurkan pada 28 Februari 2022, kami telah menerima sebanyak 332 pendaftaran dan kesemua dari mereka telah pun menerima notifikasi dan maklumbalas dari pihak kami sama ada ia berjaya atau tidak.
"Sebanyak 253 pendaftaran berstatus tidak berjaya kerana syarat-syarat verifikasi tidak ditepati. Bagi pendaftaran yang tidak berjaya, mereka ini akan dihubungi dan dibantu mengemaskini maklumat.
"Anggota harus memuat naik gambar profil kendiri, gambar kad pengenalan dan swafoto bersama kad pengenalan sebelum mereka diterima dan disahkan sebagai pemohon dan berjaya mendaftar sebagai PAT.
"Sistem saringan JPP diperketatkan memastikan sistem Pemilihan Parti secara atas talian benar-benar mempunyai integriti yang tinggi dan boleh dipercayai
"Saya menjangkakan dan berharap akan lebih ramai anggota khususnya dari sayap Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Srikandi dan mereka yang berusia 60 tahun ke bawah dapat mendaftarkan diri sebagai PAT selepas peluncuran rasmi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilaksanakan esok. Anggota boleh mengikuti peluncuran rasmi ini melalui FB Live, Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Beliau menjangkakan permohonan pendaftaran bagi PAT akan bertambah apabila penumpuan ke atas pemilihan parti meningkat sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac jni.
"Jawatankuasa Pemilihan Parti juga akan turun ke negeri-negeri dan cabang-cabang dalam siri jelajah kami dan melaksanakan pelan kempen yang intensif dengan mensasarkan golongan muda, negeri-negeri yang anggotanya ramai serta kawasan-kawasan yang capaian internetnya memuaskan.
"Penyertaan anggota yang tinggi sebagai PAT pasti akan mempercepatkan dan memudahkan proses Pemilihan Parti, mengurangkan kemungkinan risiko kekecohan bahkan ia menjamin keselamatan kesihatan para anggota di musim pandemik Covid-19," katanya lagi.
Commentaires