top of page

Apa akan jadi jika usul Muhyiddin pecat Speaker kalah?



Usul Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin mahu menamatkan tugas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming dinanti-nantikan oleh para penyokong kerajaan dan pembangkang.


Bagi Muhyididn sekiranya pihak beliau menang usul berkenaan maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mendapat sokongan moral mengekalkan pemerintahan. Namun apakah akan berlaku sekiranya usul tersebut kalah?


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, andaian kekalahan tidak boleh dikesampingkan memandangkan pihak Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai sokongan agak kuat di Dewan Rakyat.


"Usul menggantikan Tan Sri Arif merupakan Usul Nombor 2 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada 13 Julai.


"Usul Nombor 2 diikuti dengan Usul Nombor 3 dari PM mencadangkan Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.


"Usul Nombor 4 pula bertujuan mengenepikan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming. Manakala usul Nombor 5 mencadangkan Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang sebagai Timbalan Speaker.


"Bagaimana jika usul Nombor 2 ditolak oleh Dewan atau keempat-empat usul mengalamai kekalahan? Jika PM kalah bermakna Kerajaan PN pimpinannya juga kalah. Adakah PM perlu meletak jawatan?


"Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan atau amalan bersifat konvensi menuntut PM meletak jawatan. Cuma Muhyiddin akan berasa kecundang dan Kerajaan PN menerima tamparan hebat dari blok pembangkang. Namun (kelihatannya) Muhyiddin begitu berani membentangkan usul-usul tersebut, memberi isyarat kerajaan PN mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen yang akan menyokongnya," kata Hassan dalam satu kenyataan di Facebook.


Bagaimanapun, kata Hassan lagi, sekiranya Muhyiddin mahu meletak jawatan maka pembangkang telah mendesaknya sejak lama. Kekalahan usul tersebut juga mungkin menyukarkan pembentangan satu lagi usul dari Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad yang meminta Dewan melakukan Undi Tidak Percaya terhadap pentadbiran Muhyiddin.


"Secara peribadi, saya selaku Ahli Parlimen PH pernah menyuarakan tuntutan supaya Muhyiddin meletak jawatan jika usul mengenepikan Speaker menemui kegagalan. Tetapi siapalah saya untuk mendesak sedemikian terhadap PM memandangkan usul-usul mengenepikan Speaker dan Timbalan Speaker bukanlah usul bersifat kewangan seperti Belanjawan Tahunan Negara yang menuntut PM meletak jawatan jika usul kalah.


"Bagaimanapun PM Muhyiddin tidak berada dalam keadaan selesa pada 13 Julai nanti. Kerana di dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada tarikh tersebut terdapat satu lagi usul Nombor 27 yang dibawa oleh Tun Mahathir mencadangkan resolusi membuat ketetapan PM Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli yang Berhormat Dewan Rakyat.


"Persoalannya, adakah pada 13 Julai nanti usul Nombor 27 sempat dibentangkan dan dibahas serta diputuskan dengan undi atau terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain? Sama-samalah kita ikuti perkembangaan menarik di Parlimen nanti," akhiri Hassan.


Sesi Parlimen pada 13 Julai depan menyaksikan usul-usul yang belum pernah berlaku dalam sejarah Parlimen. Iaitu menukar Speaker pada pertengahan penggal sedangkan individu berkenaan tidak uzur atau mengalami hal-hal yang mewajarkan pertukaran, dan usul Undi Tidak Percaya terhadap kerajaan memerintah.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page