
Kejayaan penganjuran Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dua hari berturut-turut mengkagumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Perutusan Khas hari ini, beliau mengucapkan tahniah kepada sayap Wanita dan AMK kerana telah membuktikan mesyuarat secara atas talian boleh dianjurkan persis mesyuarat fizikal dan tidak memperlihatkan sebarang kelemahan pun.
"Saya ucap setinggi tahniah kepada wanita dan Angkatan Muda KEADILAN kerana menyempurnakan kongres maya mereka.
"Aneh Wanita dan AMK dapat menyempurnakan, kita (pimpinan utama parti) merupakan ancaman agak besar kerana tidak dapat menyempurnakan kongres," katanya merujuk Kongres Nasional KEADILAN yang diarah ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Selain itu, Anwar juga memanjatkan kesyukurannya kerana KEADLIAN bukan sahaja berperanan sebagai parti politik dalam suasana pandemik Covid 19 tetapi juga sebagai gerakan yang menjaga kebajikan rakyat dan menghulurkan pertolongan seberapa daya.
"Namun begitu saya bersyukur kerana jentera kita dan NGO, masyarakat, rumah ibadat, pelbagai kaum serta suku kaum, saya lihat kemajuannya dari Perlis sampai ke Sabah terus menjalankan kegiatan kebajikan mereka.
"Ini suatu yang menyentuh perasaan. Kita bukan sahaja wadah politik yang simpang siur. Tetapi keadaan menuntut kita ke bawah untuk tunjuk keprihatinan kepada rakyat," katanya.
Seterusnya, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengkritik kerajaan Perikatan Nasional yang sebaliknya tidak menghormati tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dan terus mencemar sistem demokrasi dengan menyekat kebebasan bersuara dan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
"Kita di sini harus bicara tentang pertanggungjawaban. Pertanggungjawaban dalam jalur demokrasi. Apa yang berlaku kini terhakiskan keyakinan kerana kita sudah hilang pengertian demokrasi dan pertanggungjawaban.
"Sekadar berebut untuk mendapat upah dan kontrak tetapi tidak melaksakan tugas maka terhakisnya keyakinan rakyat. Oleh itu, satu peringatan bukan sahaja kepada mereka pimpinan kerajaan PN tetapi semua kita termasuk dalam keluarga KEADILAN dan rakan Pakatan Harapan," katanya.
Beliau menyarankan agar semua pihak sentiasa ingat kepada tanggungjawab kepada rakyat dan perjuangan membela kebenaran.