Anwar tokoh paling layak, berwibawa sebagai PM menuju PRU 16
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dalam landskap politik semasa yang masih dibayangi pelbagai cabaran dalaman dan tuntutan reformasi berterusan, hakikatnya belum muncul mana-mana tokoh yang mampu menandingi kewibawaan, pengalaman dan tahap penerimaan rakyat selain Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada dalam tempoh terdekat mahupun selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, Malaysia masih memerlukan kesinambungan kepimpinan yang stabil, berprinsip dan berorientasikan reformasi dan Kerajaan MADANI diyakini akan terus melangkah ke hadapan, berkhidmat dengan amanah sekaligus membina sebuah negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua.
"Kita tidak boleh menukar kerajaan atau pemimpin negara hanya berasaskan sentimen perkauman dan kebencian. Sebaliknya, perubahan kepimpinan mestilah berpaksikan kepada penilaian matang terhadap kewibawaan seseorang tokoh, keupayaan kepimpinannya, serta kekuatan parti yang benar-benar dilihat mampu mentadbir dan memimpin negara dengan stabil pada masa hadapan.
"Namun demikian, kesinambungan kepimpinan negara tidak bermakna ketandusan masa depan. Kerajaan MADANI juga komited untuk mencungkil, membimbing dan melahirkan bakat-bakat baharu pemimpin Malaysia, agar proses peralihan kepimpinan pasca PMX kelak berlaku secara tersusun, matang dan berlandaskan kepentingan negara, bukannya ditentukan oleh sentimen, fitnah atau politik kebencian," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Abun lagi, Kerajaan MADANI hari ini telah membuktikan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak lahir secara kebetulan, tetapi merupakan hasil daripada kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi, serta kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.
Di peringkat domestik katanya, ekonomi negara terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti tinggi, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif, dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat merentasi wilayah, termasuk Sabah dan Sarawak.
"Di peringkat antarabangsa pula, kepimpinan PM telah berjaya memperluas hubungan strategik dengan pelbagai negara dan komuniti global, sekali gus membuka ruang pelaburan baharu serta meningkatkan keyakinan dunia terhadap Malaysia.
"Ini jelas memperkukuh kedudukan dan imej negara di persada antarabangsa. Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu, sehinggalah kepada jaminan masa depan negara yang lebih berdaya tahan dan mampan.
"Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu menilai kejayaan Kerajaan MADANI secara rasional dan berasaskan fakta, bukan terpengaruh atau tertipu dengan naratif perkauman, kebencian dan maklumat palsu yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang serta segelintir pihak yang gagal menghargai pencapaian sebenar kerajaan hari ini, termasuk serangan bermotifkan kepentingan sempit terhadap PMX," ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.





