
Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu apabila pelakon dan pengarah filem Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet membuat keputusan untuk menyertai parti KEADILAN.
Ketika bercakap di sesi Temu Anwar, beliau berpendapat sesebuah perjuangan parti amat memerlukan sokongan semua pihak, termasuklah golongan seniman.
"Kita perlukan suntikan semangat dan dukungan semua. P Ramlee menyumbangkan khazanah yang maha besar tetapi tidak dihargai orang elit.
"Jadi penyertaan mereka ini amat bermakna. KEADILAN bukan parti politik biasa untuk merebut jawatan atau kawasan.
"Ia memerlukan pemerkasan budaya, negara, ekonomi dan juga pemerkasan muzik serta perfileman.
"Muzik ini berakar pada budaya, dan bukan plagiat budaya asing semata-mata. Ia ada keperluan tersendiri dalam mendidik masyarakat.
"Alhamdulillah, seniman dan ahli muzik ini pun sudah bersama dengan Hans Isaac," katanya.
Pada masa sama, beliau amat menghargai penyertaan mereka berbanding dengan ahli yang sudah lama bersama parti tetapi akhirnya bertindak mengkhianati apa yang diperjuangkan selama ini.
"Ahli yang lama dengan parti tetapi dia khianat kerana sudah letih dan bosan dengan perjuangan, mereka itu boleh kita terajang keluar.
"KEADILAN akan terus menjadi parti yang menjadi suara nadi rakyat yang tertekan," katanya.
Justeru, beliau mengalu-alukan kedatangan Afdlin dan Altimet sebagai ahli baharu KEADILAN.
"Saya terharu dan berada dalam penuh kegembiraan, saya amat hargai dengan keputusan mereka untuk sertai KEADILAN.
"Selamat datang ke keluarga besar KEADILAN, penyertaan mereka adalah satu detik sejarah penting dalam keluarga kita," katanya.
Commentaires