Anwar seru politik muafakat, perkukuh peranan Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- 6 minutes ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO agar terus mengamalkan politik matang berteraskan muafakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kestabilan, perpaduan dan kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata, dalam landskap politik dan ekonomi yang semakin mencabar, kekuatan sebenar negara tidak terletak pada perbezaan yang terus dipolemikkan, sebaliknya lahir daripada kesepaduan, kebijaksanaan dan iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat serta negara.
Menurut Anwar, Malaysia memerlukan budaya politik yang berupaya bekerja secara kolektif, saling menghormati dan matang dalam mengurus perbezaan, khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan pelbagai parti dan latar ideologi.
"Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri berkata, sebagai salah satu komponen utama dalam Kerajaan MADANI, UMNO memainkan peranan penting dalam memastikan agenda reformasi, pemulihan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berharap Perhimpunan Agung UMNO kali ini dapat menjadi medan wacana yang bernas dan berpaksi kepada rakyat, selain menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional serta kestabilan politik negara.
"Semoga persidangan ini berlangsung dengan tertib dan menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani," katanya.








Comments