Pelbagai pendekatan politik yang diusahakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah gagal, maka tiba masanya negara perlu mencuba idea baharu yang dibawa oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengakhiri pandemik Covid 19 dan memulihkan ekonomi.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, hanya karismatik Anwar sahaja yang mampu menyatukan negara dan memastikan pelaburan asing kembali untuk mengubah nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan dan tiada peluang menambah pendapatan sepanjang pandemik.
"Sehingga kini, Pakatan Harapan utuh dengan keputusan menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Dengan kapasiti beliau sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini yang telah menunjukkan kaliber dengan mencetuskan idea baru untuk mengendali krisis pandemik serta menstabilkan negara.
"Iltizam ini diharapkan berjaya agar usaha untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi dapat dilancar segera. Tidak perlu disebutkan lagi nama Tan Sri Mahiaddin Yassin, wajar kita melihat kepada Perdana Menteri yang lebih sesuai iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu lagi, peletakkan jawatan Mahiaddin Yassin semalam telah membuka lembaran baharu untuk Malaysia memulihkan keadaan dengan cara yang sama sekali lain daripada sebelum ini.
Tambahnya, amat penting agar kerajaan baharu tidak lagi mengulangi kesilapan PN yang menghabiskan dana membayar gaji terlalu banyak menteri sebaliknya meremehkan sektor kesihatan.
"Kerajaan PN yang terhasil daripada komplot Langkah Sheraton awal 2020 menjadi kerajaan paling lemah dalam sejarah. Kabinet Malaysia di zaman PN sangat membazirkan dengan jumlah menteri dan timbalan menteri mencecah 70 orang dan tidak kompeten dalam usaha memperbaiki negara ketika pandemik melanda.
"Kerajaan ini juga terkenal dengan pelbagai istilah ‘scheme of things’ dan hash tag #kerajaangagal, #kerajaanderhaka – secara langsung membawa negara ke ambang kemusnahan," katanya lagi.
Tegas Andre, sepanjang pemerintahan PN pandemik Covid telah menjangkiti lebih daripada 1.6 juta penduduk Malaysia. Pelbagai polisi dilancarkan bekas PM dengan perbelanjaan melebihi RM 600 bilion tetapi rakyat masih tidak mendapat nikmat daripada bantuan tersebut.
"Juga kita dikawal pelbagai kawalan pergerakan dengan nama berbeza PKP, PKPB, PKPD dan juga Darurat namun tidak mampu menolong rakyat keluar dari kemelut Covid 19.
"Malah ia hanya memberi persepsi nyawa rakyat dijadikan tebusan untuk kesinambungan hayat politik mereka yang berkuasa," katanya lagi.
Comentarios