Anwar santuni komuniti India bersama PM Modi, perkukuh hubungan dua hala
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menyantuni komuniti India bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu pertemuan yang berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), Kuala Lumpur semalam.
Menurut Anwar, lawatan Modi mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan India yang bukan sekadar terjalin melalui dasar serta perjanjian rasmi, sebaliknya berakar kukuh dalam sejarah dan budaya sejak berabad lamanya.
"Pertemuan ini mengingatkan kita bahawa hubungan Malaysia dan India bukan sekadar terjalin melalui dasar dan perjanjian rasmi, sebaliknya berakar kukuh dalam sejarah, budaya serta persahabatan yang telah dibina sejak berabad lamanya," kata Anwar dalam muat naik di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa komuniti India merupakan sebahagian penting dalam pembinaan negara, dengan sumbangan besar dalam pelbagai bidang.
"Komuniti India merupakan sebahagian penting daripada pembinaan negara ini, dengan sumbangan yang melangkaui pelbagai bidang serta menjadi tunjang kepada keharmonian dan kemajuan masyarakat majmuk Malaysia," ujarnya.
Anwar berkata, persahabatan dua hala antara Malaysia dan India terus diperkukuh melalui kerjasama yang semakin bermakna dalam bidang ekonomi, digital, teknologi serta pertukaran rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan masa hadapan kedua-dua negara.
"Dalam dunia yang semakin sarat dengan ketidaktentuan dan cabaran global, Malaysia dan India wajar terus menjadi suara yang mengutamakan dialog, kerjasama dan nilai kemanusiaan," katanya.
Beliau menambah, kekuatan hubungan dua negara tidak diukur pada retorik semata-mata, sebaliknya pada manfaat sebenar yang dirasai rakyat.
"Hakikatnya, persahabatan antara negara dinilai bukan pada kata-kata, tetapi pada sejauh mana kerjasama tersebut membawa manfaat yang nyata kepada kehidupan rakyat," tegas beliau lagi.





