Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membidas tindakan kerajaan membina pejabat korporat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang baharu bernilai RM220 juta di Kelana Jaya.
Beliau berkata, masalah pemasaran produk pertanian oleh FAMA tidak boleh dibantu dan diselesaikan dengan cara membina bangunan korporat baharu sedangkan petani dan peladan terkesan dengan wabak Covid-19.
“FAMA ditubuhkan untuk bantu petani dan pekebun kecil dalam isu pemasaran.
"Nak bantu peladang dan petani jual hasil barang mereka atau nak buat mahligai baru di Kelana Jaya?” soalnya ketika perbahasan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengkritik kaedah “land swap” untuk projek pembinaan pejabat korporat baharu FAMA yang dijangka siap pada 2025.
“Ini tanah kerajaan ada lebihan RM60 juta. Kita juga tahu proses ‘land swap’ ini proses sangat kontroversi. Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyebut kerugian ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan 16 projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan di pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Jadi menteri harus lebih teliti apa keutamaan kita.
“Sepatutnya menteri terutama dari Sabah dan kawasan desa beri tumpuan supaya pemikiran lama diubah,” katanya.
ความคิดเห็น