top of page

Anwar pernah dicadang jadi Setiausaha Agung PBB, pilih teruskan reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 16, 2025
  • 1 min read

Updated: Oct 21, 2025


Dr Zulkifli (kiri) bersalaman dengan DS Anwar disaksikan oleh Abdullah Gul (tengah)
Dr Zulkifli (kiri) bersalaman dengan DS Anwar disaksikan oleh Abdullah Gul (tengah)

Oleh: Akmal Manaf


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mendedahkan satu perkembangan menarik apabila mantan Presiden Turkiye, Abdullah Gul (2007 - 2014) bersama beberapa pemimpin dunia lain pernah mencadangkan pada suatu waktu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Katanya, Abdullah Gul menyatakan bahawa ketika itu adalah peluang terbaik untuk mencalonkan seorang Muslim yang berwibawa sebagai Setiausaha Agung PBB.


"Namun, PMX (Datuk Seri Anwar) menolak dengan hormat kerana memilih untuk berbakti dan berkhidmat kepada negara.


"Akhirnya, Ban Ki-Moon telah terpilih sebagai Setiausaha Agung PBB (2007 - 2017). Maka setiap kali melihat Ban Ki-Moon, Abdullah Gul menyatakan bahawa beliau akan teringat kepada PMX yang sepatutnya memegang jawatan tersebut.


"Saya terus belajar seni diplomasi. Hubungan akrab persahabatan sejati antara pemimpin dua negara ini," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau menceritakan pengalaman itu selepas turut serta dalam sesi pertemuan PMX dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Abdullah Gul yang juga ditemani isteri yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.


Dr Zulkifli yang berbesar hati mendapat peluang itu menyifatkan, hubungan Anwar dengan Abdullah Gul begitu akrab hingga diumpamakan seperti sebuah keluarga.


Dalam pertemuan itu katanya, Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut berbincang mengenai isu Palestin dan perkembangan terkini Sumud Nusantara Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition.


"Sebagai Penaung Sumud Nusantara, PMX memaklumkan mengenai usaha-usaha giat yang dilakukan termasuk menghubungi Presiden Turkiye, Perdana Menteri Qatar, Presiden Mesir, dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) untuk membantu sukarelawan Malaysia yang telah diculik di perairan antarabangsa," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page