
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa warkah yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong adalah untuk meminta baginda mempertimbangkan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.
Beliau berkata, beliau tidak mempersoalkan tindakan Agong memperkenan darurat sekali gus tidak membawa sebarang unsur derhaka seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Ada yang terus guna istilah derhaka, ancaman keselamatan. Cuba baca tuntutan kita. Ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Agong sudah mencecah lebih dari majoriti.
"Bukan membantah, merayu ihsan dan kebijaksanaan Agong untuk menimbang dan mengkaji semula alasan yang dibawa oleh Perdana Menteri yang tidak munasabah. Kita terima kebijaksanaan Agong.
"Surat itu jelas merujuk kepada pengisytiharan darurat dan memohon ihsan dan kebijaksanaan Agong melihat hujah-hujah yang kami kemukakan," katanya.
Anwar menyifatkan sidang Parlimen masih boleh diadakan walaupun dalam tempoh darurat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
"Kalaupun darurat ditetapkan, masih mampu Parlimen berjalan seiring. Ada peruntukan dalam Perlembagaan Perkara 150 itu menetapkan darurat manakala Perkara 150(3) membolehkan Parlimen berjalan seiring menyegerakan beberapa langkah yang dirasakan perlu untuk keselamatan dan kepentingan negara.
"Kenapa dilarang sesi Parlimen? Ada yang kata tadika boleh tapi Parlimen tak boleh. Ini jelas menunjukkan tidak ada keupayaan dan kewibawaan pimpinan untuk mendengar hujah dan mengulas.
"Bahaya besar mereka mampu melakukan apa sahaja tanpa dipersoal kerana kuasa darurat itu kuasa mutlak, apa salahnya kuasa itu diimbangi dengan Parlimen supaya dapat dibahaskan, boleh dipercepatkan tak perlu proses sedia ada kerana Parlimen bersidang masa darurat.
"Maka saya umumkan selain daripada warkah kepada Agong, pembangkang beberapa ahli parlimen kerajaan kesediaan untuk bermuafakat bekerjasama untuk membentuk pentadbiran lebih stabil dan menjaga kepentingan rakyat mengatasi politik kepartian yang terbatas," katanya.
Berkaitan soal mencabar tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah, Anwar menjelaskan bahawa ia bukan untuk mencabar darurat.
"Kita akan aju perkara ini ke mahkamah, terus dipertikai, kadang-kadang juak-juak ini belum baca pun apa yang nak dikemukakan. Terus salah sisi di undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan.
"Ordinan darurat ini sebenarnya menenggelamkan dan membatalkan kuasa Perlembagaan. Apa yang kita nak ajukan di mahkamah bukan darurat tetapi keperluan meneruskan dengan mesyuarat Parlimen supaya Parlimen boleh terus bersidang.
"Mungkin esok atau lusa oleh barisan peguam atas permintaan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk memastikan mahkamah memutuskan supaya Parlimen dapat diteruskan tanpa menyentuh soal darurat.
"Jadi orang yang nak mempertikai keputusan kita harus melihat dahulu apa yang mahu diajukan iaitu menekankan keperluan adanya Parlimen.
"Sebab apa? Supaya perkara rakyat boleh dibahaskan, keterlanjuran kerajaan boleh diperbetulkan, beberapa kelemahan menangani Covid-19 dapat diperbetulkan.
"Yang penting prinsip tatakelola yang baik dilaksanakan, tak mahu guna peluang darurat ini tanpa semak dan imbang dan mereka boleh lakukan sewenang-wenangnya," katanya.
Comments