Anwar kagum kejayaan atlet negara, satukan rakyat Malaysia
- Suara Keadilan

- Oct 22, 2024
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kagum terhadap pencapaian atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik negara yang berjaya memecah tembok halangan untuk bergelar ahli sukan antarabangsa dan menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan mereka.
Perdana Menteri berkata demikian selepas bertemu dengan tujuh wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di bangunan Parlimen hari ini.
Kunjungan hormat ini dihadiri Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard yang telah memenangi pingat di Paris dalam acara sukan masing-masing.
"Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian.
"Saya juga kagum mendengar perkongsian pengalaman saudara Wooi Yik yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris. Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris," katan Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata beliau menzahirkan iltizam kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara, khususnya menerusi peruntukkan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.
"Peruntukan ini antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025; kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO," ujarnya.









Comments