Anwar bincang krisis Gaza, Asia Barat bersama pemimpin dunia di sidang BRICS


Isu krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat menjadi antara perkara utama yang dibincangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak BRICS ke-18.
Perdana Menteri berkata perbincangan itu berlangsung di sela-sela majlis makan malam sempena sidang kemuncak berkenaan di New Delhi yang turut menemukan beliau dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev serta Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov.
Beliau turut menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala.
“Bicara kami menyentuh perkembangan geopolitik dunia khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Anwar, keadaan tersebut menuntut kesatuan tekad masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin dunia bagi menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan.
Perkembangan itu berlaku ketika keadaan kemanusiaan di Gaza kekal kritikal dengan kebanyakan penduduknya masih kehilangan tempat tinggal dan berdepan kekangan mendapatkan keperluan asas.

PBB dalam laporan terbaharu pada awal September memaklumkan kebanyakan daripada 2.1 juta penduduk Gaza masih dipindahkan dan kini tertumpu di kurang 40 peratus kawasan Semenanjung Gaza, manakala serangan serta permusuhan terus menyebabkan korban awam dan kerosakan infrastruktur.
Situasi itu turut diburukkan dengan kekangan kemasukan bantuan dan kekurangan pembiayaan operasi kemanusiaan.
PBB berkata hanya sekitar 40 peratus daripada keperluan pembiayaan tahunannya bagi bantuan di wilayah Palestin telah dipenuhi setakat awal September.
Pada masa sama, serangan terhadap kawasan awam masih dilaporkan berlaku walaupun gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dilaksanakan pada Oktober 2025.
Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya empat penduduk terbunuh dalam beberapa serangan pada 6 September manakala lebih 1,300 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak gencatan senjata bermula.
Anwar berkata pertemuannya dengan Presiden El-Sisi turut membuka ruang kepada perbincangan lebih lanjut mengenai hubungan dua hala Malaysia-Mesir.
“Insya-Allah, beberapa perkara berkaitan hubungan Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam tatkala Presiden Abdel Fattah El-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan hadapan,” katanya.
Dalam pertemuan dengan Prabowo pula, Anwar berkata mereka menyentuh isu kebakaran hutan selain perkembangan konflik di Asia Barat yang menurutnya memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama.
“Saya turut memperbaharui jemputan kepada beliau untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin agar beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh dapat dibincang dan dimuktamadkan,” katanya.




Comments