top of page

Anthony Loke tunai janji, Umno-BN bila lagi mahu berundur secara sukarela?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Barisan Nasional (BN) dicabar menunaikan tanggungjawab politik dengan berundur secara sukarela daripada Kerajaan MADANI sekiranya mereka tidak lagi sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH).


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, Zahid tidak sepatutnya hanya lantang menuntut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan, sebaliknya perlu menjelaskan pendirian politik partinya sendiri.


Menurut beliau, Anthony sudah menunaikan janji politiknya dan kini tiba giliran Zahid serta Umno-BN membuktikan prinsip dan tanggungjawab terhadap kerajaan yang disertai mereka.


"Anthony Loke telah menunaikan janji politiknya. Kini, giliran Zahid dan Umno-BN pula membuktikan bahawa mereka masih mempunyai prinsip, pendirian dan tanggungjawab terhadap Kerajaan MADANI yang mereka sertai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz berkata, Umno-BN tidak boleh terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan, sedangkan pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan pihak pembangkang.


Katanya, keadaan itu bukan sekadar perbezaan pendapat atau kebebasan bersuara dalam kerajaan, sebaliknya membabitkan persoalan konsistensi dan kejujuran politik.


"Jangan mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang apabila berhadapan dengan PH di medan pilihanraya," katanya.


Beliau turut mempersoalkan bagaimana Umno-BN boleh terus kekal dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan parti itu berpakat dengan Pas dan PN untuk menentang PH dalam pilihanraya.


"Apakah Umno-BN mahu terus menikmati kuasa kerajaan sambil membantu pihak pembangkang melemahkan dan menjatuhkan kerajaan (Perpaduan) sendiri?" soalnya.


Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan beliau tidak meminta Perdana Menteri memecat Umno-BN daripada kerajaan, sebaliknya parti itu perlu mengambil keputusan sendiri sekiranya merasakan tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI.


"Jangan tunggu dipecat kemudian berlakon menjadi mangsa. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar," katanya.


Mahfuz berkata, politik bukan sekadar soal memegang jawatan dan menikmati kuasa, sebaliknya turut menuntut prinsip, kesetiaan serta keberanian memikul akibat daripada keputusan sendiri.


Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi dipetik media sebagai berkata, tidak timbul isu Barisan Nasional (BN) tidak menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana katanya setiap kali mesyuarat Jemaah Menteri, pemimpin BN tidak pernah membantah atau berbeza pendapat berkaitan dasar Kerajaan Perpaduan.


Bagaimanapun, beliau tidak pula mengulas mengenai isu Umno mahu parlimen dibubar segera yang amat bertentangan dengan konsensus Kerajaan Perpaduan mahu pilihan raya umum dilaksanakan setelah selesai mandat selama lima tahun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page