Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini melancarkan manifesto yang menjanjikan peluang pendidikan, pekerjaan dan keusahawaan lebih baik bagi anak muda.
Menurut Ketua Angkatan Muda Harapan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (gambar, dua dari kanan) tawaran itu adalah usaha berterusan untuk mencari solusi kepada masalah kronik yang dihadapi anak muda hari ini.
"Saya beritahu dengan jujur banyak konsultasi telah dilakukan dengan pelbagai pihak. Intipati inilah prinsip yang ditegakkan oleh PH.
"Kita sebut ini manifesto. Ada pemimpin kata manfesto bukan 'kitab suci'. Tetapi kami ambil semua tawaran ini sebagai kitab suci dan akan sempurnakan tawaran ini.
"PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar akan ambil berat setiap tawaran kepada anak muda. Manifesto memang kitab suci," katanya dalam sidang media tengah hari tadi.
Beliau yang juga penyandang Parlimen Kuching berkata, 5 tawaran utama AMH kali ini banyak berkisar isu ekonomi anak muda kerana banyak daripada mereka terlibat dalam pekerja gig sebagai rider atau cloud ekonomi sebagai influenser di media sosial.
"Tawaran utama kami untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). AUKU akan dimansuhkan, pemegang taruh tadbir urus akan dikembalikan kepada pelajar, pensyarah dan alumni. Kami fokus kepada kepentingan mahasiswa untuk memastikan kemudahan di IPT ditambahbaik dan senggaraan dipentingkan.
"Kedua, kembara siswa untuk meringankan beban mahasiswa pulang ke kampung halaman, terutama musim perayaan. Kembara siswa akan sediakan tiket kadar harga tetap RM199 untuk penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan had 2 tiket setahun setiap mahasiswa," katanya.
Selain itu, Pakatan Harapan (PH) juga, kata Kelvin Yii fokus terhadap isu penyediaan rumah kepada anak muda.
"Ini membantu meringakan beban penyediaan rumah di kalangan belia. PH akan mengusahakan rumah belia, rumah mampu milik, mampu sewa kos rendah dan kos sederhana yang mencukupi di lokaliti memerlukan
"Keempat, menggubal Akta Perubahan Iklim yang menetapkan perlepasan karbon dan litupan hutan hujan menjelang 2040. Usaha telah dimulakan oleh kerajaan PH tetapi telah tergendala apabila BN - PN ambil alih tampuk pemerintahan negara," katanya.
Manakala kelima, kata beliau, adalah menyediakan galakan keusahawanan. PH katanya akan memberi menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dalam kalangan belia dengan menyediakan dana khusus, skim latihan dan langkah pemudahcara bagi belia yang berminat dalam bidang keusahawanan.
Comments