ANGKASA Selangor selaras program usrah, membangun Usahawan Madani
- Suara Keadilan

- Sep 26
- 2 min read

ANGKASA Selangor dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) telah menyelaras penganjuran Usrah Membangun Usahawan Madani Siri 2/2025 yang berlangsung di Dewan Ali Baharom, ANGKASA Kelana Jaya baru baru ini.
Program ini berjaya menghimpunkan lebih 70 peserta terdiri daripada wakil koperasi, agensi serta badan-badan berkaitan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa koperasi harus menjadi wadah subur dalam melahirkan usahawan madani yang beretika, berintegriti serta menitikberatkan keadilan sosial dan kelestarian ekonomi.
"Koperasi perlu menjadi wadah yang subur dalam melahirkan usahawan madani yang bukan sahaja mengejar keuntungan, tetapi juga menitikberatkan nilai keadilan sosial, kesejahteraan bersama, kelestarian ekonomi, dan kepatuhan kepada prinsip syariah.
"Koperasi harus berperanan sebagai pemangkin pembangunan keusahawanan melalui penyediaan modal, latihan, jaringan pasaran, serta bimbingan berterusan, agar anggota koperasi dapat berdaya saing di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya.
Program itu turut menampilkan ucaptama oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub bertajuk “Membina Mindset dan Membangun Ekosistem Keusahawanan Negara”.
Beliau menekankan sebelas aspek penting termasuk keberanian mengambil risiko, pengurusan kewangan berdisiplin, memanfaatkan ekosistem sokongan, serta keperluan bimbingan dalam ucapannya.

"Pengurusan kewangan berdisiplin iaitu memisahkan akaun peribadi dan perniagaan, merancang aliran tunai dengan baik (perlu diterapkan).
"Begitu juga memanfaatkan ekosistem sokongan dengan menggunakan bantuan agensi, koperasi, institusi kewangan dan kerajaan," kata beliau.
Selain itu, Mustaffa juga menekankan mengenai modal dan model waqaf; Mentor-mentee; Fokus industri kritikal; Dokumentari GEMA21; Strategi pembudayaan keusahawanan dan langkah korporat dalam budaya keusahawanan terkini.
Antara yang hadir dalam program ini termasuk Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib Presiden, Datuk Kamarudin Ismail dan Datuk Che Mohd Shukree; Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohseen; serta Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Hasnan Mustapha.
Turut serta ialah wakil INSKEN, DPIM, DPDDM, YPEIM, YADIM, MBM, Yayasan Bank Rakyat, pengurusan ANGKASA, serta beberapa koperasi dari seluruh negara.
Program usrah ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara koperasi dan agensi, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan madani yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.









Comments