top of page

ANGKASA–INSKEN sokong perkukuh keusahawanan, gerakan koperasi di Perlis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 14 minutes ago
  • 3 min read

Datuk Mustaffa (kiri sekali) dalam majlis peluncuran buku dan Pelancaran Tahun Bisnes Koperasi ANGKASA Perlis 2026 disempurnakan oleh DYMM Raja Perlis (tiga dari kanan) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
Datuk Mustaffa (kiri sekali) dalam majlis peluncuran buku dan Pelancaran Tahun Bisnes Koperasi ANGKASA Perlis 2026 disempurnakan oleh DYMM Raja Perlis (tiga dari kanan) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

Usaha memperluas dan mengukuhkan gerakan koperasi serta pembangunan keusahawanan di Perlis dianggap selari dengan aspirasi negeri melalui Rancangan Struktur Negeri Perlis 2030 (RSN Perlis 2030), yang menekankan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial ke arah pembentukan “Negeri Bandaraya 2030”.


Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, RSN Perlis 2030 memberi fokus kepada pembangunan guna tanah, pertumbuhan ekonomi, pembangunan luar bandar dan desa, serta perancangan mampan, sekali gus membuka ruang strategik kepada koperasi memainkan peranan lebih besar dalam arus pembangunan negeri.


Kata beliau, berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 258 koperasi di Perlis, merangkumi 62,526 anggota, jumlah syer/yuran RM67.97 juta, aset RM142.65 juta, serta perolehan RM47.17 juta sehingga Disember 2024.

Datuk Mustaffa menyampaikan ucapan
Datuk Mustaffa menyampaikan ucapan

"Di samping itu, strategi pendigitalan dan transformasi perkhidmatan Kerajaan Negeri di bawah Pelan Digital Perlis 2021-2025 membuka ruang luas kepada koperasi untuk turut memanfaatkan digitalisasi baik dari segi tadbir urus, pemasaran, logistik, rantaian bekalan, dan perkhidmatan kepada anggota.


"ANGKASA turut terlibat dalam pembangunan Pelan Tindakan Digital Koperasi (DigiKOP) 2030 bagi memastikan gerakan koperasi kekal berdaya saing dalam pasaran digital hari ini," katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Buku "Never Fully Invest At All Times" serta Pelancaran Tahun Bisnes Koperasi ANGKASA Perlis 2026 yang berlangsung baru baru ini di Hotel Elissa, Kangar.


Majlis diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin lbni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli hadir menyempurnakan majlis, sekali gus mengurniakan anugerah Tokoh Penggiat Melayu Nusantara kepada TYT Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.


Turut hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Bagi Mustaffa, peranan aktif ANGKASA dalam membimbing pelbagai segmen koperasi, termasuk koperasi sekolah, koperasi wanita, koperasi komuniti luar bandar dan koperasi masjid perlu diperluas untuk memantapkan semangat keusahawanan dalam kalangan anak muda Perlis.


"Inisiatif ini memberikan peluang keusahawanan kepada belia, wanita dan komuniti luar bandar, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan modal insan di negeri ini," katanya.


Manakala dalam sektor pelancongan pula, ujar beliau, rangkaian koperasi seperti Coop Istac, Coop Hotel, Coop Homestay dan Coop Travel turut diperkembangkan, termasuk inisiatif ekopelancongan koperasi sebagai prasarana pelancongan alternatif di negeri itu.


Pembangunan usahawan INSKEN


Mustaffa menegaskan pembangunan usahawan negara dipandu oleh Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang menyasarkan rakyat Malaysia berjiwa keusahawanan sepenuhnya menjelang 2030.

Datuk Mustaffa bersama penulis Dr Tan Chong Koay yang digelar sebagai "Warren Buffett of Asia"
Datuk Mustaffa bersama penulis Dr Tan Chong Koay yang digelar sebagai "Warren Buffett of Asia"

Beliau berkata INSKEN, sepanjang dua dekad penubuhannya, telah membangunkan 160,000 usahawan, termasuk 25,000 usahawan pada tahun 2025 melalui pelbagai program latihan dan bimbingan.


"Pelbagai program latihan dan bimbingan dilaksanakan termasuk pewujudan Pusat Rujukan Inklusif Usahawan Madani (PRIME) disetiap Negeri dan daerah sebagai "one stop centre usahawan"."


Beliau juga mengulas peluncuran buku “Never Fully Invest at All Times” tulisan Dr Tan Chong Koay yang dianggap sebagai membuka ruang baharu dalam pendekatan pelaburan untuk usahawan.


"Pengalaman yang dikongsi dalam buku ini wajar dimanfaatkan setiap lapisan masyarakat bagi memperkukuh kedudukan kewangan peribadi, keluarga dan perniagaan," katanya.


Mustaffa menzahirkan harapan agar kerjasama antara ANGKASA, INSKEN, UiTM, YKS dan Kerajaan Negeri Perlis terus diperkukuh.


"Semoga kerjasama ini membawa hasil yang nyata—lebih banyak peluang pekerjaan, pendapatan stabil, gaya hidup sejahtera dan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat Perlis," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page