top of page

ANGKASA-INSKEN perkukuh kerjasama, fokus projek SejaTi MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5
  • 2 min read

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa (depan) berbincang dengan wakil ANGKASA
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa (depan) berbincang dengan wakil ANGKASA

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi perbincangan kali ketiga yang berlangsung di Bilik Mesyuarat INSKEN, Cyberjaya, baru baru ini.


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi ANGKASA Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, dengan kehadiran barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak.


Menurut satu kenyataan, perbincangan berkenaan fokus kepada pelaksanaan kerjasama secara terperinci melalui Program SejaTi MADANI, dengan INSKEN berperanan menyediakan latihan dan bimbingan awal kepada koperasi yang menerima peruntukan di bawah program tersebut.


"Fokus pelaksanaan tertumpu kepada kerjasama secara terperinci antara ANGKASA dan INSKEN, khususnya melalui Program SejaTi Madani.


"INSKEN berpotensi untuk memberikan latihan dan bimbingan awal kepada organisasi atau koperasi yang telah menerima peruntukan di bawah program tersebut," kata kenyataan itu.


Sejak dilaksanakan, ANGKASA telah menyalurkan peruntukan RM2 juta kepada 20 projek koperasi di seluruh negara, dengan rekod pencapaian 9 projek siap sepenuhnya, 9 projek mencapai kemajuan antara 50 hingga 99 peratus, manakala 4 projek masih di bawah 50 peratus.


Antara projek berjaya termasuk Koperasi Dakata Sabah Berhad yang mengusahakan ternakan ikan tilapia di Kg. Kiranau Inobong, serta Koperasi Minutinduk Kota Belud Berhad yang melaksanakan projek eko-pelancongan melalui pembersihan Sir Hugh Low’s Trail di Kota Belud.


Menurut kenyataan itu lagi, sebagai langkah susulan INSKEN akan menyediakan draf Memorandum Persefahaman (MoU) untuk dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya, manakala ANGKASA akan menyediakan draf memorandum bagi dikemukakan kepada kementerian serta mengatur pertemuan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


Kerjasama ini diyakini dapat memberi manfaat langsung kepada ribuan ahli koperasi dan komuniti setempat, selain menyumbang kepada peningkatan pendapatan, penciptaan peluang pekerjaan serta pengurangan jurang ekonomi.


ANGKASA dalam perbincangan itu diwakili Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Jamar Mat Ali; Pengurus Kumpulan Pembangunan Koperasi, Abdul Wahab Alias; Pengurus ANGKASA Selangor, Irwani Abd Malik dan Pegawai Seksyen. Kecemerlangan ANGKASA, Muhammad Aznam Khir Johari.


Manakala wakil daripada INSKEN ialah CEO INSKEN, Viviantie Sarjuni; Pegawai Jabatan Latihan INSKEN, Aqilah dan Pegawai Khas kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Hasnul Haniff.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page