Tiada keperluan untuk melayan permintaan pembangkang PN memberikan sedikit elaun kepada anggota kabinet bayangan yang dibentuk oleh gabungan itu bagi mengawasi Kerajaan Madani.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pemberian elaun kepada kabinet bayangan bukan amalan di Malaysia dan bakal memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan.
Katanya, Ahli Parlimen pembangkang masing-masing telah mendapat elaun dan saraan mencukupi bagi menjalankan tugas mereka maka kerajaan tidak perlu memberi elaun tambahan.
"Mereka yang mendapat saraan ini bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai institusi semak dan imbang, baik bertindak bersendirian atau berkumpulan seperti kabinet bayangan.
"Itu tanggungjawab mereka (Ahli Parlimen pembangkang) dan tidak perlu diberi elaun tambahan RM5,000 sebulan.
"Pemberian elaun itu memerlukan perbelanjaan besar, belum lagi ditambah peruntukan menggajikan pegawai penyelidik yang sebenarnya tidak perlu kerana Ahli Parlimen perlu membuat 'kerja rumah' sendiri dengan elaun bulanan sedia ada," katanya dipetik.
Dr Mazlan berkata begitu sebagai mengulas gesaan Projek-Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Kabinet bayangan pembangkang dengan diberi elaun bulanan RM5,000 susulan pengumuman lima ketua portfolio baharu dalam Kabinet Bayangan bagi menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Sementara itu tambahnya amalan di negara ini, hanya Ketua Pembangkang diberi kemudahan elaun selain mendapat pejabat dan kedudukannya setara menteri Kabinet.
"Dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, kerajaan perlu lebih berhemah dan mengutamakan keperluan rakyat," katanya lagi.
Comments