Ancam bunuh pemimpin lahir dari pemikiran ekstrem
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mengecam keras ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK Selangor, Anwar Abd Malek (gambar) menegaskan perbuatan tersebut tidak berpaksikan ilmu dan fakta, sebaliknya lahir daripada pemikiran ekstrem (ghuluw) yang dibimbangi boleh menular dalam masyarakat.
"Islam amat menghargai nyawa manusia. Para sarjana Islam menetapkan penjagaan nyawa (Hifz al-Nafs) sebagai salah satu daripada maqasid syariah yang utama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 93 yang menegaskan balasan berat kepada mereka yang membunuh dengan sengaja.
"Larangan dan hukuman bunuh bukan hanya menjaga keistimewaan nyawa seorang Muslim, malah ia juga meliputi nyawa setiap manusia tanpa mengira agama atau bangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, satu klip video tular di TikTok memaparkan ucapan seorang individu yang mengandungi ugutan kepada Perdana Menteri.
Individu yang didakwa pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu mengeluarkan ancaman itu dalam satu himpunan ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada Khamis lalu.
Sementara itu AMK Selangor menerusi kenyataan sama menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan tegas terhadap ancam itu dan memastikan budaya ugutan serta kecenderungan ekstremis tidak berakar dalam masyarakat.
"Mudah-mudahan Allah memberikan keselamatan, taufiq dan hidayah buat para pemimpin dan umat watan ini," tambahnya.









Comments