top of page

Analisis sokongan boleh berubah, AMK Gombak fokus gerak kerja lapangan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 7
  • 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Gombak menegaskan bahawa laporan analisa politik melibatkan kerusi parlimen KEADILAN yang disiarkan media baru-baru ini perlu dilihat sebagai satu bentuk analitik strategik dan bukannya gambaran mutlak terhadap sentimen semasa rakyat.


Pengarah Pilihanraya AMK Gombak, Hayee Zailani (gambar) berkata, analisa data dan unjuran politik merupakan perkara biasa dalam proses demokrasi serta digunakan oleh semua pihak bagi merangka strategi menghadapi pilihanraya.


"Namun, ia tidak boleh ditafsir sebagai cerminan sebenar sentimen rakyat yang sentiasa dinamik dan berubah mengikut masa,” katanya dalam satu kenyataan media sebagai mengulas laporan Malaysiakini berkaitan analisa kedudukan KEADILAN di kerusi parlimen.


Menurut beliau, AMK Cabang Gombak tidak bergantung sepenuhnya kepada analisa di atas kertas, sebaliknya terus menggerakkan jentera di semua peringkat bagi memperkukuh sokongan rakyat.


"Gerak kerja telah pun dilaksanakan secara berterusan dengan menggerakkan jentera di semua peringkat bagi memperkukuh sokongan serta memastikan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang," ujarnya.


Beliau berkata fokus utama gerakan itu adalah memperkukuh hubungan dengan pengundi, menyantuni masyarakat setempat serta memastikan mesej dan dasar kerajaan dapat diterjemahkan dengan berkesan kepada rakyat.


Dalam masa sama, beliau menegaskan AMK Cabang Gombak komited memastikan Datuk Seri Amirudin Shari terus mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihanraya akan datang.


Selain itu, katanya, gerakan tersebut turut menyasarkan untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia dan Hulu Kelang.


"Kami tidak akan leka dengan angka di atas kertas, namun memilih untuk menang melalui kerja di lapangan," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa kerja keras dan gerak kerja akar umbi akan menjadi faktor utama menentukan kemenangan.


"Data boleh berubah, tetapi kerja keras menentukan keputusan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page