Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, R Yuneswaran mengharapkan semua pengundi bangsa Johor keluar beramai ramai untuk menentukan kerajaan.
Beliau yang ditemui Suara Keadilan malam tadi menyampaikan amanat agar bangsa Johor memilih pemimpin yang bersih dan berwibawa demi masa hadapan negeri.
"Walaupun marah dengan isu isu politik tetapi kita harapkan semua mengambil tanggungjawab hak demokrasi kita untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat yang baik, berintegriti supaya boleh mengangkat suara kita dalam Dewan Undangan Negeri. Itu yang penting kepada kita.
"Jadi pilihlah wakil rakyat yang berintegriti dan berprinsip. Lihatlah parti mana yang mereka wakili. Itu memainkan peranan penting dalam kita memilih pemimpin untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor," katanya.
Bagi anak muda, sama ada Undi 18 atau Undi 21, Yunes mengharapkan mereka membuat pertimbangan sendiri, selain pengaruh dari rakan sebaya atau keluarga.
"Khusus kepada anak muda Undi 18 kita faham faktor undi saudara saudari dipengaruhi ibu bapa tetapi lihat juga pandangan dan juga penilaian sendiri. Mungkin ada mengikut kawan, media sosial tetapi pilihlah yang berciri ciri kepimpinan yang baik.
"Ini seruan dari kami kepada bangsa Johor," kata pengundi di DUN Puteri Wangsa itu lagi.
Comments