Anak muda ikut serta dalam aktiviti luaran jika dipromosi dengan baik - Kamil Munim
- Redzuan Shamsudin

- Aug 2
- 2 min read

Anak muda atau golongan belia akan ikut serta menghadiri aktiviti luar pada era teknologi digital di hujung jari ini sekiranya aktiviti yang dianjurkan itu dipromosi dengan baik dan menarik minat mereka.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, aktiviti seperti Karnival Belia MADANI 2025 ‘Jom Aktif’ yang dianjurkan Penggerak Belia Selangor hari ini misalnya merupakan satu cara terbaik dalam menarik penyertaan aktif anak muda.
"Kita tengok penyertaan belia itu cukup baik, majoritinya amat memberansangkan.
"Bukan kita kata orang muda tak nak buat aktiviti di luar dan sebagainya. Kita akui ada sedikit cabaran. Tetapi bagaimana keupayaan kita untuk menarik mereka keluar dari kawasan perumahan masing masing, dari terus duduk di rumah pada era teknologi ini.
"Kalau tahu cara dan kaedah, kalau kita boleh bawa keluar dan kumpulkan, boleh adakan kegiatan seperti dianjurkan hari ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian karnival tersebut di Dewan Komuniti dan Arena BBST, Sepang.
Ditanya mengenai isu buli dalam kalangan pelajar sekolah, Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, hal itu perlu diambil tindakan sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan dan tentunya kerajaan sedaya upaya sedang cuba membendungnya biarpun isu buli telah berlarutan sejak bertahun tahun lalu.
"Isu buli bukan baru. Ada banyak isu, keberangkalian disebabkan kecepatan teknologi yang kita ada. Jadi pendedahan itu jadi lebih mudah, saya tidak fikir pihak Kementerian ambil mudah dengan perkara ini.
"Kita lihat kenyataan dikeluarkan oleh pihak Kementerian termasuk pihak polis yang memberikan komitmen penuh membuat siasatan, sudah tentu perlu ada inisiatif lain untuk mereka mengangkat agenda melawan buli, atau menokhtahkan kegiatan buli ini di sekolah," kata beliau.
Mengulas isu lantikan kepimpinan AMK peringkat negeri pula, Kamil berkata proses lantikan akan diadakan selepas beliau berbincang dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
"Saya sebagai Ketua AMK dikehendaki berbincang dengan Pengerusi MPN. Saya dan rakan rakan Biro Politik AMK (selepas perbincangan) akan mengumumkan senarai Ketua AMK bagi seluruh negeri," katanya lagi.
Antara aktiviti menarik yang menjadi tumpuan dalam karnival belia ini termasuk Pushbike untuk kanak-kanak dengan penyertaan 100 peserta, Pertandingan Dart melibatkan 128 regu, Pertandingan Futsal dengan penyertaan 32 pasukan, Netball Shoot-Out sebanyak 32 pasukan, Pertandingan e-sukan Mobile Legends yang disertai 20 pasukan serta Jualan Ehsan Rahmah dengan tawaran harga berpatutan.









Comments