top of page

AMK Wilayah sambut baik pemimpin anak muda dilantik ke Kabinet

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan anggota Jemaah Menteri baharu yang turut menyaksikan penglibatan pimpinan muda dalam Kabinet.


Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar) berkata pelantikan dua pimpinan sayap parti itu sebagai menteri dan timbalan menteri mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan generasi muda dalam pentadbiran negara.


"Pelantikan ini membuktikan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan kepimpinan anak muda untuk memikul tanggungjawab di peringkat nasional," katanya dalam kenyataan.


Dalam rombakan berkenaan, Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Naib Ketua AMK Dr. Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Ahli Parlimen Miri yang juga Naib Ketua AMK Malaysia, Chiew Choon Man dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.


Menurut Asheeq, pengiktirafan terhadap kepimpinan muda turut diterjemahkan melalui pelantikan Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan selain Omar Mokhtar sebagai Setiausaha Politik Kementerian Dalam Negeri serta Izuan Kasim sebagai Setiausaha Politik dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Selangor.


Beliau berkata pelantikan tersebut mencerminkan usaha berterusan AMK Malaysia di bawah kepimpinan Kamil Munim dalam melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa dan berkaliber.


"AMK Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah kepada Dr Taufiq Johari dan Chiew Choon Man serta berharap kedua-duanya dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan integriti," ujarnya.


Dalam kenyataan sama, AMK Wilayah Persekutuan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Loh Su Fui, atas pelantikan berkenaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page