AMK teruskan usaha 'Bina Keyakinan Rakyat' - Akmal Nasir



Terkesan akibat pengkhianatan Langkah Sheraton yang dilakukan oleh bekas pimpinan KEADILAN, sayap pemuda parti agak terpukul dengan keluarnya beberapa pimpinan utama anak muda di samping robohnya Kerajaan Pakatan Harapan.


Bertitik tolak daripada kegawatan itu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir, pergerakan itu dibina semula bagi terus menampung idealisme perjuangan Reformasi membela kebajikan rakyat.


"Lantaran itu, tema ‘Bina Keyakinan Rakyat’ menjadi tunjang Kongres Nasional Tahunan AMK bagi tahun ini dengan harapan dapat mengejutkan kita semua untuk bangkit dari lamunan pemilihan dan sebaliknya tumpukan kepada isu-isu sebenar di luar

sana


"Ini diterjemah melalui kehidupan pimpinan AMK yang ada pada hari ini ternyata langsung tidak terpalit dengan mengaut kekayaan melampaui kemampuan malah kekal bersederhana kerana tidak berada dalam hagemoni agihan jawatan-jawatan politik keterlaluan atau perubahan gaya hidup yang bermewah dan jauh daripada realiti rakyat kebanyakan tatkala Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan," kata Akmal dalam Ucapan Perasmian Kongres AMK, pagi tadi.


Di saming itu, katanya, AMK juga tetap meneruskan perjuangan vokalnya mendedahkan kepincangan pemerintahan kerajaan BN - PN dengan mengecam pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui beberapa siri konvoi bantahan.


"AMK melakukan konvoi bantah di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, disusuli dengan demonstrasi penyerahan memorandum di Parlimen serta laporanlaporan polis di seluruh negara.


"Malah kesungguhan kita melawan rasuah dan salah guna kuasa dapat diterjemahkan dan diteruskan ke peringkat negeri, contohnya AMK Perak sebelum ini membongkarkan kes melibatkan pegawai khas Exco tipu skandal tanah, AMK Pulau Pinang yang baru-baru ini kemukakan laporan mengenai penyelewengan pengambilan buruh Bangladesh," katanya.


Dalam membina semula keyakinan rakyat, tegas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, beliau telah berjaya memposisikan AMK sebagai pilihan utama untuk diangkat sebagai calon pilihan raya, bukan sekadar melakukan demo atau menyusun kerusi ceramah.


Katanya, bermula dengan tuntutan supaya AMK memperoleh sekurang-kurangnya 30% kuota kerusi dalam pilihan raya, AMK sesi ini berjaya mencetuskan satu konvensyen (amalan) supaya setiap Ketua AMK Negeri diberikan keutamaan dan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya seperti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah dan Pilihan Raya Negeri Melaka juga Johor yang sekali gus menjadi penanda aras kepimpinan AMK di setiap negeri diikitraf oleh pusat.


"Walaupun kita menghadapi kekalahan demi kekalahan PRN, ada sedikit kejayaan apabila satu-satunya calon KEADILAN yang menang di PRN Johor adalah calon AMK iaitu Sdr Arthur Chiong.


"Dan sudah pasti konvensyen atau amalan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan keputusan berani oleh Datuk Seri Presiden, Sdr Anwar Ibrahim memberi peluang kepada anak-anak muda untuk ke hadapan," katanya.


Dalam ucapannya Akmal itu juga beliau membangkitkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan inflasi makanan terus meningkat ke paras 5.2% sehingga Mei 2022.


Sinisnya, beliau berkata, kalau dulu Najib Razak troll kononnya RM50 tidak boleh penuhkan troli pasar raya di zaman PH, kini zaman keluarga BN wang RM50 hanya boleh membeli sebotol minyak masak.


Lebih malang lagi, katanya, cadangan penyelesaian dalam isu food security tidak menampakkan kesungguhan. Dalam mengatasi isu kenaikan harga ayam, cadangan paling bernas dari Presiden Umno ialah untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara


"Apakah respon tindak balas Perdana Menteri? Tak nak kalah dengan Presidennya, beliau tubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi


"Nama macam yes, tapi sampai sekarang tak nampak fungsinya! Siapa yang mengaku jihadis ini? Kepalanya adalah Annuar Musa, disertai Tengku Zafrul, Tok Pa, Menteri KPDNHEP, Menteri Pertanian. Pusing pusing muka itu juga!


"Adakah kerajaan keluarga 69 Perdana Menteri Ismail Sabri mampu mengatasi bebanan ekonomi atau sekurang-kurangnya dilihat jujur untuk mencari jalan penyelesaian?


"Hakikatnya, apabila masalah bebanan ekonomi dicerakinkan mengikut segmen anak muda seperti golongan profesional, peniaga, pekerja, mahasiswa, penternak, seni, pelatih TVET dan pelbagai kumpulan lagi; kita akan lihat ruang untuk kita perjuangkan isu-isu yang dihadapi begitu besar. Jika kita bersungguh-sungguh insyallah isu mendesak ini akan menyebabkan anak muda mengundi kita," katanya.


Akmal turut mengingatkan dalam pilihan raya undi Atas Pagar amat penting dan AMK perlu memastikan mereka mampu mendapatkan sokongan daripada kalangan tersebut.


Beliau terbuka kepada pelbagai cadangan untuk menarik sokongan pengundi yang pada matlamat akhirnya memastikan Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya.


"Pada masa yang sama, kita perlu meraikan usaha mendekati pengundi Atas Pagar seperti kempen ‘Ayuh Malaysia’ yang dapat mengupas idea-idea melalui dasar dan polisi radikal yang melangkah kehadapan, menyedarkan masyarakat mengenai potensi dan peluang yang diperoleh apabila KEADILAN diberikan peluang untuk memimpin.


"Adakah KEADILAN mampu bina keyakinan rakyat?


"Saya yakin dengan pilihan seluruh anggota KEADILAN yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden KEADILAN dan mereka telah memilih Saudara Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.


"Saya menzahirkan sepenuhnya sokongan buat kedua-dua tokoh ini untuk bergandingan dan menerajui KEADILAN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.


"Setiap kedua-dua mereka mempunyai peranan besar yang mampu saling melengkapi antara satu sama lain," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER