AMK sambut baik pelantikan Ketua Hakim Negara baharu
- Suara Keadilan
- Jul 19
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik pelantikan tiga tokoh tertinggi dalam institusi kehakiman negara termasuk Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam, Khairul Naim Rafidi (gambar) menyifatkan pelantikan itu dibuat pada saat yang signifikan, ketika negara sedang giat memperkukuh institusi keadilan dan memperluas reformasi pentadbiran.
"Pelantikan merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti.
"Bukan sekadar kedudukan tinggi, tetapi amanah besar yang menuntut ketulusan niat, keberanian membuat keputusan yang benar, dan keinsafan bahawa setiap tindakan memberi kesan kepada hidup manusia.
"Keadilan merupakan asas tamadun yang membawa kemakmuran dan keberkatan pemerintahan serta kekal relevan merentasi zaman," katanya dalam satu kenyataan.
Selain Wan Ahmad Farid, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan turut mengumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Pelantikan selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan
Sementara itu Khairul Naim dalam kenyataannya berkata, seiring komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi, pembaharuan yang matang dan berhemah perlu dilaksana kerajaan bagi mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman
Justeru tegasnya, sudah tiba masa untuk menilai semula proses pelantikan kehakiman termasuk peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), mekanisme pencalonan serta keperluan menegakkan keseimbangan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman seperti termaktub dalam Perlembagaan.
"AMK kekal komited dalam menyokong pembinaan sistem keadilan yang bebas, telus dan berintegriti, demi Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua," tegas beliau.
Comments