
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menyambut baik pengunduran Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, semalam.
Menurut ketuanya, Akmal Nasir, pengunduran itu lebih baik daripada negara terus menyaksikan perebutan kuasa dan kacau bilau dalam kalangan menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional.
"AMK menerima baik pengumuman Tan Sri Mahiaddin yang akhirnya meletak jawatan Perdana Menteri.
"AMK konsisten menolak kerajaan yang terbentuk melalui pengkhianatan mandat rakyat dan hari ini terbukti kerajaan ‘scheme of things’ hanya mampu bertahan selama 17 bulan.
"Ketidakcekapan Menteri-menteri serta perebutan kuasa kelompok Perikatan Nasional menyebabkan negara gagal menangani krisis pandemik serta krisis ekonomi dengan baik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan PN yang lemah serta tidak mempunyai hala tuju telah menyebabkan banyak rakyat meninggal dunia akibat dijangkiti Covid 19 dan sistem kesihatan negara lumpuh.
"Mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 telah pergi selama-lamanya. Sistem kesihatan pula hampir lumpuh kerana kekurangan sumber dan tenaga.
"Mereka yang hilang pendapatan atau pekerjaan tidak tahu masa depan mata pencarian. Anak-anak kita terpaksa melalui sistem pendidikan yang tiada hala tuju.
"Bantuan-bantuan rakyat dilihat tidak mencukupi dan pemulihan ekonomi masih samar-samar serta pelbagai cabaran kita hadapi ketika ini," katanya lagi.
Akmal berharap rakyat berdoa agar Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan baharu yang lebih stabil selepas ini berdasarkan Perkara 40 (2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana kenyataan Istana Negara semalam.
Comments