AMK Pulau Pinang bantah cadangan Lim Guan Eng tukar nama jalan
- Suara Keadilan

- Jan 18
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang menyatakan pendirian tidak bersetuju kepada cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane seperti diminta oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (gambar) berkata, tidak kira apa jua alasan yang dikemukakan nama Jalan Pantai Bersih telah lama sebati dengan penduduk setempat.
Justeru, sebarang usaha menukar nama jalan yang telah digunakan dalam tempoh lama tanpa keperluan mendesak hanya akan mengelirukan penduduk selain menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai.
"Nama jalan itu mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama.
"AMK Pulau Pinang berpandangan tindakan sedemikian tidak inklusif, tidak munasabah dan langsung tidak mencerminkan keutamaan sebenar rakyat yang kini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, perumahan serta kebajikan," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menerusi kenyataan sama Muhammad Zakwan menegaskan pihaknya akan terus konsisten mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak sebarang tindakan yang tidak memberi nilai tambah serta tidak membawa manfaat sebenar kepada masyarakat.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengambil kira sentimen rakyat setempat dan mendahulukan kepentingan umum dengan tidak mempertimbangkan cadangan penukaran nama jalan berkenaan.
"Langkah ini penting bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta menghormati sejarah dan identiti tempatan," tambahnya.









Comments