AMK Perlis kecam fitnah, penghinaan terhadap Tuanku Syed Sirajuddin
- Suara Keadilan

- Oct 19
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perlis mengecam sekeras-kerasnya penyebaran rakaman suara yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin (gambar) berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap Tuanku Raja Perlis bukan sahaja mencemar maruah institusi beraja tetapi juga mengguris hati rakyat yang sentiasa menzahirkan kesetiaan kepada Raja dan negeri.
"Perbuatan seperti ini tidak boleh dimaafkan dan tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi mengikut undang-undang negara. Institusi Diraja adalah lambang perpaduan, kestabilan dan identiti negeri serta negara.
"Sekiranya siasatan mendapati rakaman suara tersebut benar milik pemimpin berkenaan, ia jelas merupakan satu bentuk penderhakaan serius terhadap Institusi Diraja Perlis dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu
Terdahulu, tular rakaman suara didakwa mirip Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang mengandungi kenyataan fitnah serta penghinaan terhadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Susulan itu menurut pihak polis, kes diambil alih dan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
"AMK Perlis menyambut baik tindakan pantas pihak polis dan menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan rakaman terbabit kerana boleh menjejaskan proses siasatan serta mengganggu keharmonian masyarakat.
"Tiada siapa boleh berdiri di atas undang-undang, apatah lagi dalam hal yang melibatkan kesetiaan kepada Raja dan negara," tambah Azzin dalam kenyataan tersebut.
Azzin menegaskan pendirian AMK Perlis kekal teguh mempertahankan Institusi Diraja Perlis daripada sebarang usaha yang cuba menggugat kedaulatan dan kehormatan institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam masa sama beliau berharap agar rakyat Perlis agar kekal tenang dan menolak politik kebencian demi mengekalkan keharmonian negeri.









Comments